Bekas petugas Media Selangor, Muhammad Azamin Muhammad Amin sedang berdepan dengan cabaran masalah kesihatan.
Tabung Kasih@Hawana sekali lagi menzahirkan keprihatinannya terhadap kebajikan warga media dengan menyalurkan bantuan kepada bekas petugas Media Selangor, Muhammad Azamin Muhammad Amin, yang sedang berdepan dengan cabaran masalah kesihatan.
Muhammad Azamin, bekas Penolong Pengarang Berita yang telah berkhidmat selama hampir dua dekad dalam industri kewartawanan, telah disantuni di kediamannya oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.
Dalam lawatan tersebut, Nie Ching juga menyampaikan sumbangan daripada Tabung Kasih@Hawana yang merangkumi bantuan wang tunai dan sebuah komputer riba.
Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu, Pang Sock Tao, turut menaja tiga pasang cermin mata baharu untuk Muhammad Azamin, isteri serta anaknya.
Muhammad Azamin, 50 tahun, yang pernah berkhidmat di akhbar Harakah selama 12 tahun bermula 2005 selain di Warta dan SelangorKini, kini memerlukan rawatan insulin secara berterusan bagi mengawal penyakit kencing manis yang dihadapinya.
Sebagai tanda sokongan terhadap Kempen Satu Rumah Satu Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, Nie Ching turut menyerahkan bendera Jalur Gemilang kepada Muhammad Azamin.
Tabung Kasih@Hawana merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi yang digerakkan oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) sejak Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2023.
Sehingga kini, seramai 487 pengamal media di seluruh negara telah menerima manfaat daripada tabung ini yang menjadi simbol penghargaan kerajaan terhadap jasa dan bakti mereka.
Pindaan akta melibatkan pemandu mabuk dibentang awal tahun depan
Jordan-Malaysia mahu perkukuh kerjasama pertahanan
Rakyat Malaysia diminta tangguh umrah ke Arab Saudi: Mat Hasan
MCMC turunkan kandungan hina Agong di Threads
Lapangan terbang Riyadh diserang lagi, seorang maut
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum