Pakej bernilai RM160 juta bagi meningkatkan pendapatan bersih dan memperkukuh kebajikan pekerja e-hailing serta p-hailing mulai tahun hadapan.
Kerajaan bersama penyedia platform e-hailing, Grab, akan membiayai pakej bernilai RM160 juta bagi meningkatkan pendapatan bersih dan memperkukuh kebajikan pekerja e-hailing serta p-hailing mulai tahun hadapan.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, pakej itu merangkumi peningkatan kadar pendapatan minimum, bantuan kos penyelenggaraan kenderaan, perlindungan insurans serta caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Beliau berkata, pelaksanaan pakej berkenaan dijangka meningkatkan pendapatan bersih bulanan pemandu e-hailing pada tahap median sehingga RM227, manakala pendapatan penghantar p-hailing meningkat sehingga RM100.
“Hal ini bermakna, pendapatan bersih untuk pemandu e-hailing pada tahap median dijangka meningkat hingga RM227 sebulan, manakala pendapatan penghantar p-hailing meningkat hingga RM100 sebulan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Anwar, langkah itu dilaksanakan sementara menunggu rundingan Majlis Perundangan Gig bagi menetapkan kadar pendapatan minimum, formula pendapatan dan standard perlindungan sosial pekerja gig yang dijangka dimuktamadkan pada awal tahun depan.
Beliau berkata, kira-kira 600,000 rakyat mencari rezeki sebagai pemandu e-hailing dan penghantar p-hailing, sekali gus menjadikan kebajikan golongan itu antara tumpuan kerajaan dalam memperkukuh jaringan keselamatan sosial.
Kerajaan turut menawarkan insentif caruman padanan PERKESO sebanyak 35 peratus kepada pekerja e-hailing dan p-hailing. Kadar itu akan meningkat kepada 50 peratus sekiranya syarikat platform turut menanggung caruman pekerja.
Selain itu, insentif caruman padanan PERKESO sebanyak 70 peratus disediakan kepada lebih 200,000 individu bekerja sendiri dalam 17 sektor yang tidak diwajibkan mencarum.
Pelepasan cukai PERKESO juga diperluas bagi meliputi caruman wajib Skim Lindung Kendiri, selain pelepasan tambahan sehingga RM150 untuk caruman sukarela Skim Lindung 24 Jam dan Lindung Kendiri.
Bagi membantu pekerja gig membuat persediaan menghadapi hari tua, kerajaan turut menawarkan insentif caruman padanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sehingga RM600 setahun atau RM6,000 sepanjang hayat.
Dalam masa sama, Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Agrobank akan menyediakan pembiayaan berjumlah RM270 juta untuk pekerja gig yang mahu memulakan perniagaan atau membeli rumah pertama.
Kerajaan turut menetapkan setiap warganegara akan didaftarkan secara automatik sebagai ahli KWSP apabila mencapai usia 18 tahun bagi menggalakkan tabungan persaraan dimulakan lebih awal.
Pakej berkenaan mencerminkan usaha kerajaan memperluas perlindungan kepada pekerja gig yang lazimnya berdepan ketidaktentuan pendapatan dan tidak menikmati semua kemudahan pekerjaan formal, termasuk perlindungan sosial serta simpanan persaraan yang konsisten.
PTPTN perinci penangguhan bayaran balik, umum tidak lama lagi
MCA tak puas hati: BN wajar pertimbang pilihan solo, elak terikat rundingan kerusi
KPKT batalkan 28,401 lesen, warga asing berniaga haram diburu
Tok Mat persoal keberkesanan UNHCR urus pelarian Rohingya
Tanah LTAT RM420 juta dijual kepada AS melalui tender: Khaled Nordin
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum