Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.
Bersatu melahirkan rasa kecewa terhadap keputusan PAS yang menamatkan kerjasama politik antara kedua-dua parti, namun menegaskan akan terus kekal sebagai parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN).
Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin berkata keputusan memutuskan hubungan politik itu dibuat oleh PAS dan bukan atas kehendak partinya.
“Kerjasama yang dibina bersama PAS sebelum ini diasaskan atas semangat serta persefahaman yang luhur demi perjuangan bersama.
“Keputusan menghentikan kerjasama politik dan memutuskan hubungan dengan Bersatu adalah atas kehendak PAS,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Muhyiddin berkata, sebagai parti pengasas PN, Bersatu akan terus komited memperkukuhkan gabungan itu dan meneruskan perjuangan yang berteraskan kepentingan rakyat.
Menurut beliau, parti itu akan terus memperkasa agenda prihatin rakyat yang menjadi tunjang perjuangan PN sejak penubuhannya.
“Bersatu akan terus mendokong hasrat rakyat yang mahukan perubahan serta kepimpinan yang benar-benar mewakili aspirasi seluruh warga Malaysia,” katanya.
Beliau turut menyeru seluruh pimpinan dan ahli parti supaya tidak terjejas dengan perkembangan terbaru itu, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan PN sebagai alternatif kepada kerajaan sedia ada.
“Setiap lapisan pimpinan dan ahli mesti terus meletakkan kepentingan rakyat sebagai fokus utama malah lebih bersemangat dengan ujian terbaru ini.
“Saya yakin rakyat yang mendukung cita-cita PN akan terus istiqamah bersama-sama kita,” katanya.
Muhyiddin yang juga bekas Pengerusi PN berkata, setiap cabaran yang dihadapi mempunyai hikmah tersendiri dan berharap seluruh anggota parti terus bersatu menghadapi situasi semasa.
Semalam, PAS mengumumkan penamatan kerjasama politik dengan Bersatu berkuat kuasa serta-merta selepas diputuskan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.
Menurut kenyataan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang keputusan itu dibuat selepas parti berkenaan meneliti pelbagai laporan, kajian dan penilaian semasa mengenai hubungan antara kedua-dua parti.
Penamatan hubungan politik itu menandakan berakhirnya satu lagi episod kerjasama antara PAS dan Bersatu yang sebelum ini menjadi tonggak utama PN sejak gabungan berkenaan ditubuhkan pada 2020.
Rafizi teruskan saman fitnah terhadap Caprice kerana dakwaan rasuah
Seorang MKT UMNO persoal gesaan ganti Asyraf Wajdi sebagai Pengerusi MARA
Syahredzan cadang peruntukan Ahli Parlimen ikut jumlah pengundi
PH-BN mungkin runding kerusi elak pertembungan di Melaka: Saifuddin
Gobind mahu peruntukan Ahli Parlimen bebas diskriminasi
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri