Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi.
Barisan Nasional (BN) belum mempunyai sebarang perancangan untuk membentuk kerjasama politik secara rasmi dengan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).
Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi berkata, hubungan antara kedua-dua gabungan politik itu setakat ini hanya berlandaskan persefahaman politik atau ‘tafahum siyasi’, seperti yang dilaksanakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dan Melaka.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan BN dan PN mengadakan perbincangan mengenai kerjasama lebih besar sekiranya keadaan memerlukan pada masa depan.
“Apa yang kita lalui, khususnya untuk PRN Negeri Sembilan dan Melaka adalah ‘tafahum siyasi’ atau kesefahaman politik.
“Kita belum pernah merancang untuk ke arah yang lebih jauh lagi tetapi jika tiba masanya dan keadaan memerlukan, kita akan duduk bersama-sama,” katanya selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Deepavali anjuran Parti Progresif Penduduk (PPP) di Brickfields, hari ini.
Kenyataan itu menyusul kejayaan BN dan PN memperoleh majoriti dua pertiga pada PRN Melaka Ke-16 selepas kedua-dua gabungan berkenaan menguasai 24 daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
BN memenangi 21 kerusi, manakala PN memperoleh tiga kerusi. Pakatan Harapan (PH) pula hanya berjaya mempertahankan empat kerusi.
Keputusan itu turut mengulangi kejayaan formula persefahaman politik BN-PN pada PRN Negeri Sembilan Ke-16 yang berlangsung pada 1 Ogos lalu.
Kerjasama secara tidak rasmi antara kedua-dua gabungan itu dilihat memberi kesan kepada landskap politik negeri, khususnya dalam usaha mengelakkan pertembungan sesama parti yang berpotensi memecahkan undi.
Sementara itu, mengulas kemungkinan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU-16, Ahmad Zahid berkata perkara itu terletak di bawah kuasa dan mandat Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, Perdana Menteri mempunyai hak untuk menentukan masa sesuai bagi membubarkan Parlimen.
Kalah PRN Melaka bukan pengakhiran perjuangan: Mohamad Sabu
Parti Rafizi mungkin terkubur awal jika terlalu idealistik – Puad
PAS tiada sebab serah jawatan PM kepada UMNO – Kadir Jasin
Tindakan Timbalan Speaker bahas Belanjawan 2027 cetus bantahan MP
MP Pasir Gudang disiasat berhubung sajak ‘Patik Tak Rela’ kritik isu Najib
[VIDEO] Berita Pilihan Agenda Daily | 16 November 2026
[VIDEO] Jangan pandang rendah kemampuan anak muda: Mukhlis