Pakatan Harapan.
Pakatan Harapan (PH) mendakwa kempen berbaur perkauman yang dimainkan Barisan Nasional (BN) sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan semakin mencemarkan suasana demokrasi, selain mengelirukan rakyat berhubung isu pelantikan Menteri Besar.
Ketua Sekretariat Jabatan Pilihan Raya PH, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, kenyataan Pengerusi MARA, Asyraf Wajdi Dusuki ketika berkempen yang mempersoalkan siapa bakal menjadi Menteri Besar (mb) sekiranya Aminuddin Harun tewas disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab.
Terdahulu, Asyraf semasa berkempen membuat persoalan sama ada pengundi Negeri Sembilan mahu pemimpin DAP dilantik sebagai MB jika Aminuddin tewas di kerusi ditandinginya.
“Jika Tok Min (Aminuddin) kalah, siapa jadi MB calon PH? Anthony Loke ke? Nak ke orang Negeri Sembilan Anthony Loke jadi MB?” kata Asyraf dipetik laporan media.
Saifuddin Shafi menyifatkan kenyataan Setiausaha Agung UMNO itu bukan sahaja mengelirukan, malah menghina kebijaksanaan rakyat Negeri Sembilan.
“Kenyataan itu jelas bercanggah dengan Perkara 36 Akta Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 yang menetapkan calon Menteri Besar mestilah seorang Melayu dan beragama Islam. Ia mengelirukan serta menghina rakyat Negeri Sembilan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Saifuddin turut mendakwa kenyataan sedemikian boleh mengundang siasatan di bawah Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 jika didapati mempunyai kecenderungan menimbulkan perasaan permusuhan atau kebencian antara kaum bagi mempengaruhi pengundi.
Beliau berkata, kenyataan itu juga dilihat seolah-olah mendahului kuasa Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dalam urusan pelantikan Menteri Besar selepas pilihan raya.
Mengulas isu itu, Saifuddin Shafi menegaskan PH tidak pernah menolak usaha memperkasakan kedudukan Melayu dan Islam, namun perjuangan tersebut perlu berasaskan kejujuran serta nilai perpaduan tanpa menjadikan kaum lain sebagai sasaran politik.
“Usaha mengangkat martabat Melayu Islam perlu dilakukan secara jujur dan berlandaskan semangat Rukun Negara, bukannya dengan memangsakan kaum lain atau menyemai kebencian,” katanya.
Beliau turut mendakwa terdapat parti politik yang cuba memaksa masyarakat memusuhi kelompok tertentu, sedangkan mereka sendiri gagal menunjukkan keikhlasan dalam membela kepentingan orang Melayu dan Islam.
Sehubungan itu, PH menggesa semua parti yang bertanding kembali memberi tumpuan kepada isu yang lebih dekat dengan rakyat seperti kebajikan, pembangunan ekonomi dan kestabilan politik, bukannya memainkan sentimen perkauman sepanjang tempoh berkempen.
PRN Negeri Sembilan menyaksikan persaingan sengit antara PH, BN dan Perikatan Nasional (PN), dengan isu kepimpinan negeri serta kerjasama politik antara parti menjadi antara tema utama kempen. Dalam beberapa hari kebelakangan ini, kempen turut dihangatkan dengan saling berbalas kenyataan berhubung isu kaum, calon Menteri Besar dan hala tuju pentadbiran negeri sekiranya berlaku pertukaran kerajaan.
PAS yang patut keluar PN, bukan Bersatu
Sanusi memang gemar keluar kenyataan pelik
Aminuddin minta buktikan mana projek PH yang tertinggal
Calon PH DUN Ampangan tumpu penyelenggaraan infrastruktur
Fahmi: Politik sepatutnya menyatupadukan rakyat, tindakan pemimpin PAS dikritik
[VIDEO] Politik kebencian dan sentimen perkauman tak selesaikan masalah rakyat
[VIDEO] Manifesto BN ketinggalan jauh, Aminuddin sifatkan tidak realistik