Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Fahmi Fadzil menyifatkan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025 melalui undian di Dewan Rakyat sebagai bukti jelas kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim masih mempunyai majoriti yang kukuh.
Menteri Komunikasi mengulas tindakan pembangkang yang keluar dari dewan sejurus setelah keputusan undian diumumkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul, pada Khamis.
“Kita lihat bagaimana pembangkang, setelah tewas dalam undian, cuba memutarbelitkan kekalahan mereka dengan menimbulkan isu lain seolah-olah ada keresahan, sehingga mereka memilih untuk keluar dari dewan.
“Bagi saya, ini adalah taktik yang sangat sinis. Mereka sepatutnya menerima hakikat bahawa mereka kalah, dan sekali lagi ini membuktikan kerajaan mempunyai majoriti manakala mereka kekal tidak cukup bilangan,” katanya kepada media di Parlimen.
RUU tersebut diluluskan setelah 125 ahli parlimen menyokong, manakala 63 menolak. Seorang ahli parlimen tidak mengundi dan 32 yang lain tidak hadir.
Fahmi juga menyatakan kekecewaan terhadap hujah-hujah yang dikemukakan oleh pembangkang semasa perbahasan RUU tersebut, dengan menyifatkannya sebagai retorik emosi tanpa asas fakta yang kukuh.
Sebelum ini, Anwar menegaskan RUU Perolehan Kerajaan 2025 merupakan satu lagi reformasi besar yang dilaksanakan Kerajaan Madani, yang tidak berani dilakukan oleh pentadbiran sebelumnya.
Anwar menjelaskan bahawa RUU ini memperkukuh sistem semak dan imbang, di mana keputusan perolehan termasuk keputusan Menteri Kewangan boleh dicabar dan dikaji semula melalui Panel Kajian Semula dan Tribunal Rayuan Perolehan yang berkecuali.
Beliau juga menekankan RUU tersebut memperkenalkan tindakan punitif terhadap sebarang ketidakpatuhan, dan tiada pihak termasuk Menteri Kewangan yang terkecuali daripada peruntukan undang-undang ini.
Mesyuarat Dewan Rakyat bagi penggal ini ditutup pada Khamis setelah bersidang selama 24 hari bermula 21 Julai lalu.
PAS jangan diam, jelaskan peranan wakil dalam krisis Negeri Sembilan: AMK
Kemelut takhta: Majlis menghadap Tunku Nadzaruddin batal, Balai Undang dikawal polis
Rayuan Majlis Peguam cabar pengampunan Najib diputuskan 7 Januari: Bernama
AGC: Kerajaan Negeri Sembilan tiada kuasa gantung dua pegawai kanan
Sivamalar soal Akmal: Kenapa diam isu Istana Negeri Sembilan?
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum