Fokus bina ekonomi negara, hentikan drama isu kecil: Anwar

February 26, 2026 · Politik

Anwar Ibrahim menggesa rakyat supaya tidak terus terperangkap dalam isu-isu remeh yang boleh memecah-belahkan masyarakat, sebaliknya memberi tumpuan kepada agenda besar membina ekonomi negara demi masa depan generasi muda.

Berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Huazong 2026 hari ini, Perdana Menteri berkata kekuatan Malaysia terletak pada perpaduan rakyat berbilang kaum yang saling menghormati budaya dan agama masing-masing.

Menurutnya, kestabilan dan kemakmuran hanya mampu dicapai jika nilai kemanusiaan dan toleransi terus dipupuk.

“Kita menghormati nilai manusia, kita tahu budaya dan ketinggian nilai kemanusiaan dan ini yang kita pupuk supaya fokus kita kepada nilai dan kekuatan ekonomi,” katanya.

Beliau mengingatkan jika terlalu banyak polemik kecil, ia hanya akan mengalih perhatian daripada perkara lebih penting seperti pelaburan, peluang pekerjaan dan mutu pendidikan.

“Kalau ekonomi kita tak kukuh, pelaburan tidak meningkat, tidak ada harapan untuk anak-anak muda kita dari segi pekerjaan dan mutu pendidikan,” tambahnya.

Majlis berkenaan turut dihadiri Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek serta Presiden Huazong Lim Kah Chuan.

Dalam ucapannya, Anwar turut menyentuh asas kenegaraan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau menegaskan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak boleh dipertikaikan, namun pada masa sama hak penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing perlu terus dipelihara.

Menyentuh isu bahasa, beliau berkata keterbukaan terhadap pembelajaran bahasa lain bukan satu kerugian, malah memberi nilai tambah kepada negara.

“Asalkan mereka semua terima kedudukan bahasa Melayu dan perlu tahu sejarah negara, maka belajarlah,” katanya.

Menurut beliau, selain bahasa Melayu, penguasaan bahasa Inggeris dan bahasa Cina juga penting kerana kedua-duanya mempunyai nilai ekonomi yang besar di peringkat serantau dan global.

Sejak menerajui pentadbiran negara, Anwar konsisten menekankan agenda reformasi ekonomi dan perpaduan nasional sebagai teras Malaysia Madani, dengan sasaran memperkukuh daya saing negara di tengah-tengah cabaran ekonomi dunia yang semakin mencabar.

Berita berkaitan
Politik matang kunci kukuhkan perpaduan negara: Anwar
9 jam lalu· Politik
Program Ziarah Kasih: Fahmi santuni warga emas, pesakit terlantar di Seri Menanti
14 jam lalu· Isu semasa
Zahid tegur pemimpin DAP jaga lidah, hormati rakan kerjasama
14 jam lalu· Politik
Hubungan diplomatik baik, politik stabil jamin bekalan tenaga: PMX
14 jam lalu· Isu semasa
Lagi Politik terkini
Kawal mulut timbalan dan ketua pemuda UMNO dulu: DAPSY beritahu Zahid
9 jam lalu · Politik
PAS buat pusingan-U, Hadi umum Hamzah jadi Ketua Pembangkang bukan Samsuri
12 jam lalu · Politik
Hamzah umum parti baharu, tapi tidak letak jawatan seperti Rafizi
13 jam lalu · Politik
AMK kenal pasti calon muda hadapi PRN Johor, Negeri Sembilan: Kamil
13 jam lalu · Politik
PH mahu menang atas kekuatan sendiri, bukan kelemahan lawan: Fahmi
14 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
May 17, 2026
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi
May 12, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok