Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.
Kenyataan pemimpin DAP berhubung titah Sultan Selangor disifatkan boleh memberi kesan negatif kepada imej Pakatan Harapan (PH), khususnya dalam kalangan pengundi Melayu menjelang pilihan raya akan datang.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menegur tindakan beberapa pemimpin DAP termasuk Tony Pua yang dilihat tidak bijak dan kurang beradab kerana menyanggah titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Menurut beliau, isu melibatkan institusi diraja merupakan perkara sensitif yang perlu ditangani dengan penuh berhati-hati oleh ahli politik.
“Memang benar Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan, tetapi imej, maruah dan kedaulatan raja-raja tetap dipelihara dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dipetik laporan media.
Kontroversi itu tercetus selepas bekas ahli parlimen Damansara itu menyatakan kuasa raja dalam sistem Raja Berperlembagaan adalah terhad kepada perkara tertentu seperti adat Melayu, agama Islam serta fungsi perlembagaan termasuk pelantikan Menteri Besar dan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pua juga berkata Malaysia bukan negara yang membolehkan raja menggubal atau menentukan semua aspek kehidupan rakyat melalui titah.
Mengulas perkara itu, Hassan berkata pandangan tersebut tidak wajar kerana boleh dianggap tidak menghormati institusi diraja yang menjadi sebahagian penting dalam sejarah pembentukan negara.
“Raja-raja Melayu telah berkorban dengan menyerahkan sebahagian kuasa mutlak demi menerima sistem demokrasi berparlimen dan Perlembagaan Persekutuan. Sebab itu ahli politik perlu ada adab dan santun apabila bercakap mengenai institusi raja,” katanya lagi.
Beliau turut mengingatkan DAP supaya memahami sensitiviti masyarakat Melayu, terutama di Semenanjung Malaysia yang mempunyai hubungan rapat dengan institusi Raja-Raja Melayu.
“Kalau hendak bercakap soal raja, perlu ada batas dan hormat. Sebab itu orang Melayu mudah tersinggung apabila institusi ini dipersoalkan,” ujarnya.
Sementara itu, veteran DAP, Tan Seng Giaw turut menasihatkan Pua agar menjadikan prinsip Rukun Negara sebagai panduan dalam mengulas isu semasa.
Katanya, prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara penting untuk memastikan keharmonian dan perpaduan rakyat pelbagai kaum terus terpelihara.
Pasukan khas pantau isu 3R menjelang PRN Johor, Negeri Sembilan
Hakim sifatkan skandal 1MDB sebagai kleptokrasi terburuk dunia
Fahmi nasihat Ketua Pengarah J-Kom agar berhati-hati di media sosial
BN hampir selesai rundingan kerusi, fokus kempen berteraskan dasar: Asyraf Wajdi
PAS cadang perpaduan Melayu, tetapi tak mahu Hamzah dalam parti
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar