Hentikan politik takutkan rakyat: Mahfuz

July 21, 2026 · Politik

Mahfuz Omar menggesa rakyat menolak budaya politik yang berasaskan ketakutan dan memilih kepimpinan yang menawarkan penyelesaian serta hala tuju jelas untuk masa depan negara.

Menurut Naib Presiden Parti Amanah itu, rakyat sudah terlalu lama dijadikan sasaran politik yang menggunakan sentimen takut setiap kali menjelang pilihan raya, dengan musuh politik sentiasa berubah mengikut keadaan semasa.

“Setiap kali pilihan raya akan muncul musuh baharu. Musuh itu berubah mengikut musim politik, tetapi caranya tetap sama iaitu menakutkan rakyat supaya mereka mengundi kerana bimbang, bukan kerana yakin,” katanya dalam satu kenyataan.

Mahfuz berkata, taktik sedemikian menyebabkan rakyat gagal menilai prestasi sebenar kerajaan atau parti politik kerana perhatian mereka dialihkan kepada isu yang membangkitkan kebimbangan.

Katanya, politik ketakutan tidak mampu menyelesaikan masalah kehidupan rakyat seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, pendidikan, kenaikan gaji atau pertumbuhan ekonomi.

“Ketakutan tidak membina sekolah, tidak menaikkan gaji, tidak menurunkan harga barang dan tidak membuka peluang pekerjaan. Negara hanya boleh dibina melalui dasar yang baik, pentadbiran yang bersih dan perpaduan rakyat,” katanya.

Beliau turut menyifatkan politik ketakutan sebagai racun kepada demokrasi kerana ia menghalang rakyat daripada bertanya mengenai perancangan ekonomi, usaha meningkatkan pendapatan, menarik pelaburan serta memperbaiki sistem pendidikan.

Mahfuz menggunakan analogi seseorang yang memandu dengan hanya melihat cermin sisi sehingga hilang fokus terhadap jalan di hadapan.

“Malaysia tidak boleh dipandu dengan melihat bayang-bayang. Malaysia mesti dipandu dengan melihat jalan di hadapan,” katanya.

Beliau turut mengkritik pentadbiran di negeri-negeri yang ditadbir Perikatan Nasional seperti Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu, yang menurutnya masih berdepan pelbagai masalah asas walaupun sentimen ketakutan terus dimainkan.

Pada masa sama, Mahfuz menyeru orang Melayu supaya tidak terus dipengaruhi politik yang memecah-belahkan masyarakat.

“Melayu yang yakin tidak mudah dipermainkan. Melayu yang berilmu tidak mudah diprovokasi. Melayu yang matang memilih berdasarkan fakta, bukan ketakutan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan rakyat pelbagai kaum supaya mempertahankan perpaduan kerana semua berkongsi masa depan yang sama.

“Negara tidak pernah musnah kerana kepelbagaian. Negara musnah apabila rakyat diajar saling takut dan saling membenci. Jangan wariskan ketakutan kepada anak-anak kita, sebaliknya wariskan harapan untuk masa depan,” katanya.

Mahfuz berkata, pilihan raya sepatutnya menjadi medan memilih pemimpin yang mampu membawa negara dan Negeri Sembilan ke arah lebih baik, bukannya pertandingan untuk menentukan siapa paling berjaya menakutkan rakyat.

Kenyataan itu dibuat ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan semakin rancak dengan parti-parti politik giat menawarkan manifesto dan strategi masing-masing bagi meraih sokongan pengundi menjelang hari pengundian.

Berita berkaitan
Fahmi: Jangan berhenti, perjuangan rakyat mesti diteruskan
4 jam lalu· Politik
Aminuddin ambil tanggungjawab, sedia berundur
13 jam lalu· Politik
Dakwaan guna TH untuk raih sokongan politik perlu disiasat: Mahfuz
August 15, 2026· Politik
Fahmi: PKR perlu perkemas cara sampaikan mesej kerajaan
August 15, 2026· Politik
Lagi Politik terkini
Majoriti perwakilan DAP sokong kekal dalam Kerajaan Perpaduan hingga habis penggal
5 jam lalu · Politik
Akta Tabung Haji akan dipinda, amanah umat Islam jadi keutamaan
5 jam lalu · Politik
DAP pilih kestabilan, hormati keputusan Anwar kekalkan BN
5 jam lalu · Politik
Hubungan dengan Zahid masih baik, Anwar pilih kestabilan pertahan Kerajaan Perpaduan
11 jam lalu · Politik
Kemiskinan, dadah ancaman sebenar orang Melayu: Saifuddin Nasution
13 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
4 jam lalu
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri
August 11, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok