Afdlin Shauki Aksan.
Ketua Cabang PKR Setiawangsa, Afdlin Shauki Aksan, membuat laporan polis berhubung dakwaan Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengenai tawaran campur tangan Amerika Syarikat (AS) untuk menjatuhkan Kerajaan Persekutuan.
Laporan itu dibuat hari ini susulan kenyataan Abdul Hadi yang dilaporkan beberapa portal berita pada 5 September lalu, selepas ucapan penggulungan beliau pada Muktamar PAS ke-72 di Kota Bharu.
Menurut Afdlin, dakwaan mengenai campur tangan kuasa asing dalam politik Malaysia bukan perkara kecil kerana ia menyentuh aspek kedaulatan negara, keselamatan nasional, hubungan diplomatik serta sistem demokrasi berparlimen.
Beliau berkata, laporan polis dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan secara profesional, bebas dan menyeluruh terhadap dakwaan tersebut.
“Sekiranya dakwaan itu benar, ia memerlukan siasatan menyeluruh oleh pihak berkuasa. Jika tidak benar, kenyataan sedemikian juga berpotensi menimbulkan keresahan awam, mengelirukan rakyat serta menjejaskan kepentingan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Afdlin berkata, siasatan juga wajar meneliti sama ada terdapat unsur kesalahan di bawah Akta Hasutan 1948, Seksyen 124B dan 124C Kanun Keseksaan atau mana-mana peruntukan undang-undang lain yang berkaitan.
Beliau menegaskan mana-mana pihak yang membuat dakwaan serius mengenai campur tangan asing perlu bersedia memberikan keterangan dan mengemukakan bukti kepada pihak berkuasa.
“Kita tidak boleh membiarkan dakwaan sebesar ini berlalu tanpa penelitian sewajarnya kerana ia menyentuh kepentingan negara dan keyakinan rakyat terhadap institusi demokrasi,” katanya.
Isu itu tercetus selepas Abdul Hadi mendakwa terdapat pihak dari AS yang pernah menawarkan bantuan untuk menjatuhkan kerajaan Malaysia. Dakwaan berkenaan kemudiannya dinafikan Kedutaan AS di Malaysia sebagai tidak benar.
Afdlin menyeru semua pihak menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa dan mengelakkan spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.
“Biarlah pihak berkuasa menentukan kesahihan dakwaan ini berdasarkan bukti dan fakta, bukan spekulasi atau permainan politik,” katanya.
Zahid tak akan benar usul gugat MB Negeri Sembilan
Akmal kecam sindiran Eric See-To terhadap istilah ‘lighad’, jangan perlekeh al-Quran
PN sasar lebih empat kerusi di Melaka hasil rundingan dengan UMNO: Tuan Ibrahim
Adly kritik Akmal, dakwa main sentimen kaum dan agama
Mat Sabu: Jadikan krisis Negeri Sembilan pengajaran buat pengundi PRN Melaka
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum