Parti Amanah.
Pemimpin politik diingatkan supaya tidak terlalu cepat menutup ruang kerjasama dengan mana-mana pihak kerana landskap politik sentiasa berubah dan penuh dengan kemungkinan yang sukar dijangka.
Naib Presiden Amanah, Dzulkefly Ahmad berkata, dalam dunia politik, keterbukaan perlu sentiasa dikekalkan dan pemimpin tidak seharusnya membuat kenyataan yang boleh menjejaskan peluang kerjasama pada masa depan.
Menurut beliau, sikap terlalu tegar atau ekstrem dalam menentukan pendirian politik boleh menyukarkan proses rundingan apabila berlaku perubahan keadaan.
“Dalam politik ini kita perlu mengizinkan apa juga kemungkinan berlaku. Kita mesti mengizinkan apa pun. Jangan tutup ruang dan jangan bakar jambatan.
“Melibatkan kawan dan musuh, jangan terlalu sayang berpada-pada, benci pun berpada-pada,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Sesi Rundingan Meja Bulat Pelaporan Media Selamat dan Bertanggungjawab Berkaitan Tingkah Laku Bunuh Diri hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi yang sebelum ini memberi jaminan Barisan Nasional (BN) Johor tidak akan bekerjasama dengan DAP sekiranya gabungan itu diberi mandat untuk membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Onn Hafiz yang juga Pengerusi BN Johor berkata, pendirian tersebut selaras dengan keputusan kesemua 26 bahagian UMNO Johor serta parti-parti komponen BN negeri yang mahu bertanding secara solo di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Mengulas lanjut, Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor menegaskan pemimpin politik perlu lebih fleksibel dalam membuat pertimbangan kerana masa depan sentiasa dipenuhi ketidaktentuan.
“Jadi jangan terlalu ekstrem dan tidak fleksibel, jangan terlalu jumud.
“Ke depan nanti kita tidak tahu apa ketentuan ALLAH,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil, turut mengulas isu berkenaan namun memilih untuk memberikan reaksi ringkas.
“Pandangan saya macam inilah, terlajak kata buruk padahnya,” katanya.
Isu kerjasama politik antara BN dan DAP kembali menjadi perhatian selepas beberapa pemimpin UMNO Johor menyuarakan pendirian untuk bergerak secara sendiri pada PRN Johor.
Walaupun BN dan PH kini bekerjasama dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, hubungan politik di Johor dilihat mempunyai dinamika tersendiri apabila sebahagian pemimpin negeri menegaskan keutamaan untuk mempertahankan identiti dan kekuatan parti masing-masing.
Rafizi teruskan saman fitnah terhadap Caprice kerana dakwaan rasuah
Seorang MKT UMNO persoal gesaan ganti Asyraf Wajdi sebagai Pengerusi MARA
Syahredzan cadang peruntukan Ahli Parlimen ikut jumlah pengundi
Gobind mahu peruntukan Ahli Parlimen bebas diskriminasi
Bendera terbalik di Johor, Akmal tak mahu anjur himpunan seperti di P. Pinang?
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri