Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Armizan Mohd Ali.
Kerajaan bersetuju untuk menempatkan anggota polis di stesen minyak berisiko tinggi sebagai langkah memperkukuh penguatkuasaan susulan peningkatan risiko ketirisan bahan api akibat krisis tenaga global.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 April lalu, sebagai peluasan kepada penempatan penguat kuasa kementerian tersebut yang telah bermula sejak 20 Mac.
Menurut beliau, sebelum ini penguat kuasa KPDN ditempatkan secara berkala di stesen minyak sekitar kawasan sempadan bagi membendung aktiviti penyeludupan dan ketirisan.
Namun, hasil laporan Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Antara Agensi Penguatkuasaan mendapati pemantauan perlu diperluas ke lebih banyak lokasi berisiko.
“Kerajaan melihat keperluan untuk memperluas pemantauan statik ke stesen minyak berhampiran sempadan dan kawasan berisiko tinggi di seluruh negara,” katanya dipetik laporan media.
Beliau menjelaskan, penglibatan polis diperlukan berikutan kekangan tenaga kerja penguat kuasa KPDN selain keperluan pemantauan yang lebih menyeluruh terhadap bekalan dan harga barangan, terutama dalam situasi ketidaktentuan global.
Bagi fasa pertama dari 20 Mac hingga 10 April 2026, sebanyak 87 stesen minyak telah dipantau secara statik.
Fasa kedua yang akan bermula minggu depan melibatkan tambahan 70 stesen dengan penyertaan anggota polis.
“Kita akan terus menilai keperluan dari semasa ke semasa. Saya juga telah berbincang untuk mempertimbangkan penglibatan anggota Rela dalam membantu pemantauan ini,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Armizan turut memaklumkan bahawa Inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB) berjaya menyelamatkan 71.3 tan lebihan makanan sepanjang Ramadan lalu menerusi program i-FB@Bazar Ramadan 2026.
“Sebanyak 119 bazar Ramadan terlibat dengan sokongan 2,875 sukarelawan. Ini membuktikan pendekatan bersepadu mampu mengurangkan pembaziran makanan sambil membantu golongan memerlukan,” katanya.
Inisiatif itu juga selari dengan usaha kerajaan mengurangkan impak alam sekitar melalui pengurangan pembaziran makanan dan pelepasan karbon.
Projek RM1.1 bilion: Bekas pembantu Rafizi sambung beri keterangan esok
Krisis politik Negeri Sembilan: Persatuan peniaga bimbang ekonomi negeri terjejas
Seorang individu didenda RM30,000 hina institusi kehakiman di FB: MCMC
Permohonan pindah kes rasuah Shamsul Iskandar ditolak mahkamah
Malaysia kekal terbuka terima pelabur, tapi kedaulatan diutamakan: Anwar
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan