
Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil maklum mengenai aduan berhubung penyalahgunaan MyKad untuk menebus bantuan SARA.
Kerajaan memberikan jaminan penuh penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) merupakan hak rakyat yang layak, dan tidak akan membiarkan penganiayaan berlaku akibat sebarang isu teknikal atau penyalahgunaan identiti.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismai memberitahu Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil maklum mengenai aduan berhubung penyalahgunaan MyKad untuk menebus bantuan SARA oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan memberi jaminan siasatan menyeluruh sedang dijalankan bagi memastikan penerima asal mendapat hak mereka.
“Saya memberi jaminan bahawa SARA adalah hak rakyat. Kerajaan tidak akan membiarkan mana-mana penerima yang layak teraniaya akibat isu teknikal atau penyalahgunaan identiti,” tegas Saifuddin dalam satu kenyataan.
“Sekiranya berlaku penyalahgunaan MyKad, baki sumbangan SARA akan dipulangkan semula kepada penerima yang terlibat setelah disahkan melalui siasatan,” tambahnya.
Proses ini memerlukan pemegang MyKad yang terjejas untuk membuat laporan polis terlebih dahulu.
Siasatan seterusnya akan dilaksanakan secara bersama oleh Kementerian Kewangan (MOF) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mengenal pasti punca masalah dan memastikan baki bantuan dikembalikan kepada penerima yang benar.
Menurut Saifuddin, KDN melalui JPN juga sedang bekerjasama rapat dengan MOF untuk menangani isu teknikal berkaitan pengesahan dan keselamatan MyKad.
Langkah ini bagi memastikan pusingan seterusnya penyaluran subsidi bersasar dapat dilaksanakan dengan lebih lancar dan selamat.
Antara langkah penambahbaikan yang sedang giat dilaksanakan termasuklah pemadanan data MyKad terkini, semakan versi kad, serta peningkatan keselamatan infrastruktur digital JPN untuk mengelakkan berulangnya insiden penyalahgunaan pada masa akan datang.