Pengerusi PKR Melaka, Adam Adli.
Pertemuan tertutup antara pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di sebuah hotel di Melaka pada Isnin hanya membabitkan jamuan makan malam dan sesi suai kenal, kata Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, Adam Adli Abdul Halim.
Menurut Adam Adli, tiada perancangan khusus atau perbincangan rasmi berkaitan kerjasama politik dalam pertemuan berkenaan, sebaliknya ia diadakan bagi memberi ruang kepada pimpinan kedua-dua parti untuk saling mengenali serta mengekalkan hubungan baik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
“Tak ada perancangan. Kita cuma makan malam dan suai kenal, tengok apa hala tuju masing-masing.
“Jemputan untuk jamuan makan malam tertutup oleh Bersatu ini dah lama dan kita berpandangan bagus dalam pilihan raya ini kita terima jemputan tersebut supaya kita kekalkan sekurang-kurangnya hubungan baik antara semua pihak,” katanya dipetik laporan media.
Pertemuan itu turut dihadiri beberapa pimpinan Bersatu termasuk Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz; Ketua Bersekutu Bersatu, R Sri Sanjeevan; Pengarah Pilihan Raya Negeri, Mohammad Ali Mohamad serta Ketua Penerangan Bersatu Melaka, Hishamuddin Abdul Karim.
Adam Adli yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya berkata, pertemuan tersebut turut menjadi ruang untuk pimpinan parti berkongsi pandangan mengenai persediaan menghadapi PRN.
Katanya, dalam suasana menjelang pilihan raya, semua parti kini dilihat sedang membuka ruang komunikasi dengan pelbagai pihak.
“Kita sudah nyatakan sebelum ini lagi, dalam pilihan raya kali ini semua pihak sebenarnya sedang bercakap antara satu sama lain.
“Malam ini dengan kawan-kawan daripada Bersatu, biasa sebelum ini dengan Barisan Nasional (BN). Tak tahulah kalau PAS nak jemput, alhamdulillah kita datang juga,” katanya.
Kenyataan itu memberi gambaran PH tidak menutup ruang untuk menghadiri pertemuan dengan parti lain sekiranya menerima jemputan, termasuk PAS, namun Adam Adli tidak menyatakan sebarang bentuk kerjasama politik sudah diputuskan.
Mengenai pembahagian kerusi, beliau berkata agihan kerusi dalam PH di peringkat negeri sudah diselesaikan, namun keputusan tersebut masih perlu melalui proses selanjutnya sebelum diumumkan.
“Itu dalam PH, ya, kita dah selesai. Cuma itu hanya peringkat awal. Banyak lagi kerja lain.
“Kita tumpukan balik kepada pemerkasaan jentera dan pastikan juga dalam pemilihan calon nanti kita bagi yang betul-betul bagus,” katanya.
Adam Adli berkata jumlah kerusi yang dipersetujui PH akan diumumkan pada masa yang sesuai.
Ditanya sama ada pembahagian kerusi itu tidak membabitkan parti lain, beliau berkata perkara tersebut masih belum dapat dipastikan.
“Tak termasuklah buat masa sekarang ini. Kita pun tak pasti macam mana lagi betul-betul. Sebab itu kena suai kenal dulu semua.
“Bukan cuma Bersatu, dengan BN pun kita sentiasa berunding, bercakap, bersuai kenal. PAS sahaja yang belum jemput lagi. Jadi kita tunggu juga,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadual mengadakan mesyuarat khas pada 7 Oktober bagi menentukan perkara berkaitan PRN Melaka, termasuk tarikh penting pilihan raya negeri berkenaan.
Gagal isytihar wang tunai ditemui SPRM dan emas: Ismail Sabri mahu cabar pertuduhan
Loke hantar surat letak jawatan, berkuat kuasa bila Najib pulang ke rumah
AMK gesa PAS isytihar Zahid sebagai ‘poster boy’ calon PM
Krisis Negeri Sembilan: 10 bekas Exco terima arahan pulangkan kenderaan rasmi
Anwar, Wan Azizah beri penghormatan terakhir kepada Siti Hasmah
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum