Bekas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dikaitkan dengan penemuan wang RM170 juta sebelum ini.
Bekas perdana menteir, Ismail Sabri Yaakob tidak berganjak dan akan mencabar pertuduhan gagal mengisytiharkan harta bernilai jutaan ringgit, termasuk wang tunai RM14.7 juta serta simpanan dalam pelbagai mata wang asing.
Peguamnya, Amer Hamzah Arshad berkata, pihak pembelaan sedang meneliti keseluruhan dokumen kes sebelum memfailkan permohonan bagi mencabar kewajaran serta kesahan pertuduhan terhadap bekas Perdana Menteri itu.
“Sudah tentu kami akan memfailkan permohonan selepas meneliti dokumen yang diterima daripada pihak pendakwaan,” katanya selepas prosiding sebutan kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam prosiding di hadapan Hakim Suzana Hussin, Timbalan Pendakwa Raya, Ifa Sirrhu Samsudin memaklumkan sebahagian dokumen kes sudah diserahkan kepada pihak pembelaan.
Lima jilid dokumen di bawah Seksyen 36 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 termasuk dokumen sitaan serta beberapa dokumen berkaitan pengisytiharan harta Ismail Sabri telah diserahkan kepada pasukan guaman.
Pendakwaan bagaimanapun masih belum menyerahkan keseluruhan dokumen dan senarai saksi kepada pembelaan.
Amer Hamzah kemudian meminta baki dokumen diberikan sebelum prosiding seterusnya bagi membolehkan pihaknya menentukan tindakan undang-undang yang akan diambil.
“Ini kerana mungkin terdapat permohonan yang akan kami failkan dan pembelaan perlu meneliti dokumen tersebut terlebih dahulu,” katanya.
Mahkamah menetapkan 4 Disember depan untuk sebutan semula kes.
Mengikut pertuduhan, Ismail Sabri didakwa memberikan pernyataan bertulis yang tidak mematuhi terma notis di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta SPRM 2009 bertarikh 7 Januari 2025.
Notis itu diserahkan kepadanya pada 10 Januari 2025 dan beliau didakwa gagal mengisytiharkan harta kepada SPRM pada 7 Februari 2025.
Harta yang dinyatakan dalam pertuduhan termasuk wang tunai RM14,772,150, SG$6.1 juta, AS$1.46 juta, CHF3 juta, €12.16 juta, ¥363 juta, £50,250, NZ$44,600, AED34.7 juta dan AU$352,850.
Turut disebut ialah lima jongkong emas seberat satu kilogram setiap satu, satu jongkong perak seberat 100 gram serta satu syiling emas seberat lima gram.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda maksimum RM100,000 jika disabitkan.
Kes ini menjadi perhatian kerana ia membabitkan bekas Perdana Menteri dan jumlah harta serta wang tunai dalam pelbagai mata wang yang dinyatakan dalam pertuduhan.
Ismail Sabri pernah menjadi Perdana Menteri kesembilan Malaysia dari Ogos 2021 hingga November 2022.
PH-Bersatu masih belum duduk berunding secara rasmi: Fahmi
Pertemuan PH-Bersatu sekadar makan malam: Adam Adli
Pemimpin PH-Bersatu bertemu, rundingan PRN Melaka?
Krisis Negeri Sembilan: 10 bekas Exco terima arahan pulangkan kenderaan rasmi
Anwar, Wan Azizah beri penghormatan terakhir kepada Siti Hasmah
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum