Kerugian akibat penipuan dalam talian meningkat, cecah RM1.57 bilion tahun lalu

September 10, 2025 · Isu semasa

Jumlah kerugian akibat jenayah penipuan dalam talian mencatatkan lonjakan mendadak kepada RM1.57 bilion pada tahun lepas, menunjukkan peningkatan sebanyak 84.46 peratus berbanding tahun 2022 yang mencatatkan kerugian RM851.12 juta.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, mendedahkan angka tersebut berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), dengan jumlah kes juga meningkat sebanyak 38.81 peratus kepada 35,368 kes berbanding 25,479 kes pada tahun sebelumnya.

“Statistik terkini dari Januari hingga Julai tahun ini pula merekodkan sebanyak 31,949 kes dengan nilai kerugian mencecah RM1.53 bilion,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff di Dewan Negara.

Beliau turut memaklumkan daripada 127,291 kes yang disiasat antara tahun 2022 hingga Julai lalu, sebanyak 61,437 kes telah diselesaikan, menjadikan kadar penyelesaian keseluruhan adalah 48.26 peratus.

Mengenai langkah pencegahan, Saifuddin menekankan PDRM sedang melaksanakan pelbagai inisiatif strategik, termasuk pengukuhan Pusat Respon Penipuan Kebangsaan (NSRC) yang beroperasi sejak 12 Oktober 2022.

“Fungsi NSRC telah diperluaskan sebagai pusat sehenti yang beroperasi 24 jam dan memberikan perkhidmatan ‘end-to-end’ bagi menangani jenayah penipuan dalam talian,” jelasnya.

Beliau menambah bahawa NSRC kini diletakkan di bawah kawal selia Kementerian Dalam Negeri dan diterajui oleh PDRM bagi memastikan tindakan pantas dapat diambil untuk mencegah kerugian kewangan.

Di peringkat antarabangsa, Malaysia sedang dalam proses menyertai Konvensyen Budapest dan menandatangani Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkaitan jenayah siber bagi mengukuhkan kerjasama dalam penyiasatan, pertukaran bukti digital, dan ekstradisi pelaku jenayah siber.

Selain itu, kerjasama dengan ASEAN Singapore Cybersecurity Center of Excellence (ACCP) juga dijalin bagi meningkatkan kapasiti pegawai PDRM dalam menangani jenayah siber.

Saifuddin turut memaklumkan Kanun Keseksaan (Akta 574) telah dipinda dengan memperkenalkan Seksyen 424A, 424B, 424C, dan 424D bagi menangani kesalahan memiliki, mengawal, dan menggunakan instrumen pembayaran secara haram.

Pindaan Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) turut memberi kuasa kepada pegawai polis untuk menyita dan membekukan akaun yang disyaki terlibat dalam penipuan.

“Kerajaan juga sedang dalam proses menggubal Rang Undang-undang (RUU) Jenayah Siber sebagai sebahagian daripada usaha menyeluruh membanteras jenayah siber di negara ini,” tegasnya.

Berita berkaitan
JPN sudah keluarkan 275,785 MyKad baharu, Johor rekod tertinggi
3 jam lalu· Isu semasa
Saifuddin bidas pembangkang sesama sendiri pun berpecah
3 jam lalu· Politik
Kes scam: Tawaran komisen RM1,200, wanita rugi RM72,467
7 jam lalu· Isu semasa
Parlimen: NSRC selamatkan jutaan ringgit wang mangsa scam
October 22, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Kapal bawa ketamin RM785 juta milik syarikat Malaysia: Polis
3 jam lalu · Isu semasa
Kerajaan sanggup tanggung subsidi minyak demi rakyat: PMX
3 jam lalu · Isu semasa
Anwar: Ekonomi meningkat, masalah kos sara hidup rakyat tak diabaikan
3 jam lalu · Isu semasa
23 kawasan catat IPU tidak sihat, Seremban tertinggi setakat 4 petang
3 jam lalu · Isu semasa
Jangan serah keselamatan digital anak kepada platform semata-mata
7 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok