Naib Presiden UMNO, Mohamed Khaled Nordin.
Naib Presiden UMNO, Mohamed Khaled Nordin mahu pengundi Negeri Sembilan mengulangi keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan memastikan Bersatu ‘K.O.’ pada pilihan raya kali ini sehingga parti itu gagal memberi saingan kepada Barisan Nasional (BN).
Menurutnya, keadaan di Negeri Sembilan lebih memihak kepada BN berbanding PRN Johor kerana wujud persefahaman antara BN dan Perikatan Nasional (PN), sekali gus mengelakkan pertandingan banyak penjuru yang sebelum ini memecahkan undi.
“Negeri Sembilan mesti mengesahkan keputusan Johor dan pastikan Bersatu di Negeri Sembilan ‘K.O.’ habis. Kalau boleh, semua calon mereka hilang deposit,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengenalan Calon dan Pelancaran Jentera BN Johol.
Beliau berkata, pertandingan satu lawan satu antara BN dan Pakatan Harapan (PH) di kebanyakan kerusi memberi kelebihan kepada BN untuk meraih sokongan pengundi Melayu.
“Kelebihannya ialah persefahaman antara BN dengan PN. Itu satu kekuatan. Apabila pertandingan menjadi satu lawan satu dengan PH, ia memberi kelebihan kepada BN,” katanya.
Khaled turut mendakwa sentimen pengundi Melayu kini kembali memihak kepada BN seperti ditunjukkan dalam PRN Johor dan percaya momentum itu mampu diteruskan di Negeri Sembilan.
“Gelombang Melayu kepada BN bukan hanya berlaku di Johor. Itulah perasaan orang Melayu hari ini yang mahu kembali menyokong BN. Jentera perlu memastikan sokongan itu diterjemahkan kepada kemenangan,” katanya.
Beliau mendakwa Bersatu ditubuhkan untuk menggantikan UMNO, namun kini hanya berperanan memecahkan undi Melayu jika terus diberi sokongan.
“Kalau bagi BN sedikit, bagi Bersatu sedikit, akhirnya Bersatu hanya jadi kacau daun. Sebab itu BN bukan sekadar mahu menang, tetapi menang dengan majoriti yang kukuh,” katanya.
Di DUN Johol, penyandang BN, Saiful Yazan Sulaiman, berdepan calon PH, Mohd Zailan Mohd Munawar dalam saingan satu lawan satu.
PRN Negeri Sembilan melibatkan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri dengan 19 kerusi diperlukan untuk membentuk kerajaan negeri.
Pilihan raya itu menjadi ujian penting kepada kekuatan BN, PH dan PN selepas perubahan landskap politik negara sejak Pilihan Raya Umum ke-15.
Fahmi: Jangan berhenti, perjuangan rakyat mesti diteruskan
Akta Tabung Haji akan dipinda, amanah umat Islam jadi keutamaan
Kemiskinan, dadah ancaman sebenar orang Melayu: Saifuddin Nasution
RM2.58 bilion rugi, Syed Saddiq persoal pelaburan TH sampai ‘naik darah’
14 pembahas sokong DAP terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri