Lebih 10,000 peranti komunikasi dirampas dalam Ops Optik: MCMC

January 6, 2026 · Isu semasa

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) merampas sebanyak 10,112 peralatan komunikasi yang didapati tidak diperakui dan gagal memenuhi piawaian teknikal dalam satu operasi penguatkuasaan berskala besar di sekitar Klang dan Petaling Jaya.

Operasi dikenali sebagai Ops Optik itu dijalankan hasil risikan terperinci serta kerjasama strategik bersama SIRIM dengan melibatkan seramai 69 pegawai terbabit dalam operasi yang mengambil masa hampir 19 jam, bermula tengah hari hingga awal pagi.

Menurut MCMC, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM1 juta.

“Sebanyak 10,112 peralatan disyaki tidak diperakui telah disita,” kata MCMC dalam satu kenyataan.

Antara barangan yang dirampas termasuk kamera litar tertutup tanpa wayar (wireless CCTV) serta peralatan sokongan operasi premis seperti komputer, mesin cetak, telefon bimbit dan router WiFi.

Siasatan turut mendapati aktiviti pemasaran dan penjualan peralatan terbabit dijalankan secara aktif melalui platform e-dagang dan media sosial, sekali gus meningkatkan risiko produk tidak patuh sampai ke tangan pengguna.

Setakat ini, seramai 40 individu telah diambil keterangan awal, manakala sembilan Notis Kehadiran dikeluarkan kepada beberapa individu termasuk pengarah syarikat, pengurus operasi, pembantu gudang, hos siaran langsung dan pencipta kandungan bagi menghadiri sesi rakaman percakapan di Ibu Pejabat MCMC di Cyberjaya.

MCMC memberi amaran penjualan dan penggunaan peralatan komunikasi tidak diperakui boleh membawa kesan serius. “Peralatan ini bukan sahaja berisiko kepada keselamatan pengguna, malah boleh mengganggu rangkaian perkhidmatan, menurunkan kualiti perkhidmatan dan menjejaskan integriti pasaran tempatan,” katanya.

Kes ini disiasat mengikut Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

MCMC menegaskan tindakan penguatkuasaan akan terus diperkukuh dari semasa ke semasa bagi membanteras penjualan peralatan komunikasi tidak diperakui dan memastikan kepentingan pengguna sentiasa dilindungi.

Berita berkaitan
MCMC siasat dakwaan AI hasilkan video seksual libat guru, pelajar
14 jam lalu· Isu semasa
Kandungan palsu berhubung dua kematian pelajar, MCMC ambil tindakan
20 jam lalu· Isu semasa
Lebih 700 kandungan deepfake pemimpin politik diturunkan: MCMC
23 jam lalu· Isu semasa
NADI Inanam Sentral dibuka, peluang digital diperluas
23 jam lalu· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Jerebu: Agong titah sekolah tutup jika IPU 150 hingga 180
14 jam lalu · Isu semasa
Anwar hubungi Prabowo, ASEAN digerakkan tangani jerebu
14 jam lalu · Isu semasa
Tiada lesen judi baharu dikeluarkan: MOF
20 jam lalu · Isu semasa
RM5.2 bilion transaksi SARA direkod setakat September, 8.4 juta penerima
22 jam lalu · Isu semasa
Anwar, Presiden Myanmar adakan pertemuan empat mata: Bernama
23 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok