Mahfuz ingatkan pengundi Melaka jangan angkat Najib sebagai wira

November 13, 2026 · Politik

Pengundi Melaka diingatkan supaya tidak menjadikan sentimen politik dan nostalgia terhadap kepemimpinan lalu sebagai alasan mengetepikan prinsip integriti, khususnya dalam menilai rekod bekas Perdana Menteri, Najib Razak.

Naib Presiden Parti Amanah, Mahfuz Omar berkata pilihan raya negeri (PRN) Melaka pada 14 November bukan sekadar menentukan kerajaan baharu, sebaliknya turut mencerminkan nilai dan prinsip yang mahu diwariskan kepada generasi akan datang.

Beliau berkata, sabitan kesalahan rasuah terhadap Najib dalam kes SRC International membabitkan RM42 juta tidak sepatutnya dilupakan hanya kerana bekas pemimpin itu menerima pengampunan atau perubahan kaedah menjalani hukuman.

“Pengampunan dan perubahan tempat menjalani hukuman tidak memadamkan sabitan itu, apatah lagi menjadikan seseorang secara automatik seorang wira negara.

“Kita boleh memaafkan, tetapi jangan sampai memadamkan pengajaran sejarah. Kita boleh bersimpati, tetapi jangan sampai menggadaikan prinsip,” katanya dalam kenyataan menjelang hari pengundian PRN Melaka.

Mahfuz turut mempersoalkan pendirian parti-parti politik yang sebelum ini lantang memperjuangkan integriti tetapi kini dilihat meraikan tokoh yang telah disabitkan kesalahan rasuah.

Beliau turut menggesa PAS menjelaskan pendirian parti itu berhubung prinsip antirasuah apabila berhadapan dengan rakan politik sendiri.

“Jangan gunakan agama untuk menghukum lawan, tetapi gunakan kepentingan politik untuk memaafkan kawan,” katanya.

Menurut Mahfuz, pengundi perlu memikirkan mesej yang bakal diwariskan kepada anak cucu sekiranya individu yang telah disabitkan kesalahan rasuah diangkat sebagai wira politik.

Beliau berkata, Melaka sebagai negeri yang mempunyai sejarah dan maruah tersendiri tidak seharusnya menjadikan pilihan raya kali ini sebagai titik kebangkitan semula politik kleptokrasi.

“Jangan biarkan mereka mewarisi sebuah negara yang mengajar kesalahan boleh dilupakan apabila pelakunya mempunyai pengaruh politik,” katanya.

Sehubungan itu, Mahfuz menyeru rakyat Melaka membuat keputusan berdasarkan pertimbangan rasional dan hati nurani, bukannya sentimen atau nostalgia politik masa lalu.

PRN Melaka berlangsung pada 14 November dengan pengundi bakal menentukan wakil rakyat bagi 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Berita berkaitan
Pantun ‘kencing’ Mat Maslan makan diri, bukankah UMNO juga dalam kerajaan?
2 jam lalu· Politik
Anwar: Kerajaan masih stabil, jangan layan spekulasi liar
2 jam lalu· Politik
Zambry umum Ismail Lasim letak jawatan MB Negeri Sembilan
2 jam lalu· Politik
Kalah PRN Melaka bukan pengakhiran perjuangan: Mohamad Sabu
11 jam lalu· Politik
Lagi Politik terkini
PAS sedia runding kerusi DUN Terengganu dengan BN: Samsuri
11 jam lalu · Politik
Parti Rafizi mungkin terkubur awal jika terlalu idealistik – Puad
14 jam lalu · Politik
PAS tiada sebab serah jawatan PM kepada UMNO – Kadir Jasin
14 jam lalu · Politik
Tindakan Timbalan Speaker bahas Belanjawan 2027 cetus bantahan MP
14 jam lalu · Politik
MP Pasir Gudang disiasat berhubung sajak ‘Patik Tak Rela’ kritik isu Najib
15 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Berita Pilihan Agenda Daily | 16 November 2026
10 jam lalu
[VIDEO] Jangan pandang rendah kemampuan anak muda: Mukhlis
November 12, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok