Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.
Bekas Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dilepas dan dibebaskan daripada empat pertuduhan membabitkan dana RM200 juta berkaitan program Jana Wibawa.
Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi Noor Ruwena Nurdin hari ini selepas Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memohon supaya Muhyiddin dilepas tanpa dibebaskan (DNAA).
Bagaimanapun, mahkamah memutuskan untuk memberikan pembebasan penuh kepada Muhyiddin daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa.
“Sehubungan itu, mahkamah melepas dan membebaskan tertuduh daripada keempat-empat pertuduhan,” katanya dipetik New Straits Times.
Muhyiddin, 79, sebelum ini didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan Presiden Bersatu antara 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021 untuk mendapatkan RM200 juta sebagai suapan bagi parti itu daripada Bukhary Equity Sdn Bhd.
Kes itu dikaitkan dengan Jana Wibawa, sebuah program yang diperkenalkan ketika pentadbiran Muhyiddin bagi membantu sektor perniagaan dan kontraktor Bumiputera berdepan kesan ekonomi akibat pandemik COVID-19.
Walaupun dibebaskan daripada empat pertuduhan terbabit, Muhyiddin masih berdepan tiga pertuduhan salah guna kuasa membabitkan RM25.3 juta yang didakwa diperoleh untuk Bersatu daripada tiga syarikat, iaitu Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan KCJ Engineering Sdn Bhd.
Muhyiddin pertama kali didakwa pada 10 Mac 2023 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan dua pertuduhan pengubahan wang haram.
Tiga hari kemudian, beliau berdepan pertuduhan ketujuh, iaitu satu lagi pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM5 juta daripada Bukhary Equity di Mahkamah Sesyen Shah Alam.
Kesemua tujuh pertuduhan kemudian dibicarakan di Mahkamah Tinggi di hadapan Noor Ruwena, dengan perbicaraan bermula pada 9 Mac lalu.
Perkembangan itu susulan keputusan Mahkamah Rayuan pada Februari 2024 untuk mengembalikan empat pertuduhan salah guna kuasa terhadap Muhyiddin yang sebelum ini diketepikan Mahkamah Tinggi pada Ogos 2023.
Krisis Negeri Sembilan: MB umum dua pegawai kanan digantung tugas
Hassan saran Anwar kekalkan Loke dalam Kabinet, tolak peletakan jawatan
DUN Melaka sah bubar esok, PRN bakal diadakan: Ab Rauf
Pembatalan lantikan Exco Negeri Sembilan sah, ada asas Perlembagaan: Peguam
Anwar imbau detik di Penjara Sungai Buloh
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum