Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menjelaskan Malaysia mengekalkan hak untuk memilih pembekal terbaik bagi sektor strategik seperti tenaga dan mineral kritikal di bawah Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu berkata Artikel 5.3 dalam perjanjian itu mengandungi klausa pengecualian yang penting.
“Kata kunci pengecualian itu penting kerana ia memberi ruang kepada Malaysia untuk mendapatkan bekalan pada harga dan terma terbaik, selaras dengan kepentingan ekonomi negara,” jelas Tengku Zafrul dalam satu kenyataan di media sosial.
Menurutnya, sekiranya mana-mana negara lain boleh membekalkan dengan terma dan harga yang lebih baik, Malaysia tiada halangan untuk membuat perolehan dari negara tersebut.
“Kalau A dan B jual harga yang sama, keutamaan mungkin negara A, tetapi kalau B jual pada harga yang jauh lebih murah daripada A, maka pengecualian ini terpakai,” ujarnya.
Tengku Zafrul turut menolak telahan kementeriannya tidak membuat semakan dengan kementerian lain, dengan menyifatkannya sebagai agak ‘nakal’.
Beliau menekankan pasukan perunding Malaysia terdiri daripada pakar berpengalaman luas.
“Sepanjang proses ini, semua kementerian dan agensi berkaitan dirujuk untuk memastikan aspek penting diambil kira,” tegasnya.
Mengenai isu kedaulatan negara, beliau berkata walaupun perkataan ‘kedaulatan’ tidak dinyatakan secara khusus dalam Artikel 5.1, frasa di dalamnya menjamin kedaulatan Malaysia tetap terpelihara.
Tengku Zafrul juga menekankan ART memperkenalkan mekanisme penilaian pelaburan masuk bagi mengelak risiko keselamatan negara.
“AS tidak menentukan pelaburan yang dibenarkan masuk ke Malaysia, keputusan sepenuhnya berada dalam tangan kerajaan,” katanya.
Berhubung dakwaan ART mempengaruhi perolehan kerajaan, Tengku Zafrul menegaskan semua pembelian yang disenaraikan adalah urus niaga komersial sedia ada oleh syarikat tempatan dan tidak membabitkan dana kerajaan.
Sebagai contoh, pembelian pesawat Boeing oleh Malaysia Aviation Group diumumkan lebih awal sebelum pengumuman tarif oleh AS.
Pindaan akta melibatkan pemandu mabuk dibentang awal tahun depan
Jordan-Malaysia mahu perkukuh kerjasama pertahanan
Rakyat Malaysia diminta tangguh umrah ke Arab Saudi: Mat Hasan
MCMC turunkan kandungan hina Agong di Threads
Lapangan terbang Riyadh diserang lagi, seorang maut
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum