Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengesahkan pihaknya memandang serius aduan orang awam berhubung penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) di platform X, khususnya melibatkan manipulasi imej wanita dan kanak-kanak sehingga menghasilkan kandungan tidak senonoh dan menjijikkan.
Dalam satu kenyataan, MCMC berkata penghasilan atau penyebaran kandungan sedemikian merupakan kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang melarang penggunaan perkhidmatan rangkaian untuk menyebarkan kandungan lucah, sumbang atau melampau.
“MCMC tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan teknologi, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan keselamatan dan maruah wanita serta kanak-kanak,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan dengan itu, MCMC memaklumkan siasatan akan dimulakan terhadap pengguna platform X yang disyaki melanggar peruntukan undang-undang berkenaan.
Langkah ini diambil susulan peningkatan laporan mengenai penggunaan AI untuk memanipulasi imej sehingga menimbulkan risiko besar kepada mangsa.
MCMC turut menjelaskan pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 mewajibkan platform dalam talian dan penyedia perkhidmatan berlesen mengambil langkah pencegahan bagi mengekang penyebaran kandungan memudaratkan, termasuk bahan lucah dan penderaan seksual kanak-kanak.
Walaupun platform X bukan penyedia perkhidmatan berlesen di Malaysia pada masa ini, MCMC menegaskan platform tersebut tetap tertakluk kepada piawaian keselamatan dalam talian yang berkuat kuasa.
“Setiap platform yang boleh diakses di Malaysia mempunyai tanggungjawab untuk memastikan persekitaran digital yang selamat,” menurut MCMC.
Tambahnya, pihak berkuasa sedang meneliti bentuk kemudaratan dalam talian yang berlaku di platform berkenaan dan akan memanggil wakil platform X bagi mendapatkan penjelasan lanjut.
MCMC dalam masa sama menggesa semua platform digital supaya lebih proaktif melaksanakan mekanisme perlindungan, khususnya berkaitan fungsi AI, chatbot dan aplikasi manipulasi imej yang semakin mudah disalahgunakan.
Orang ramai dan mangsa dinasihatkan agar segera melaporkan kandungan memudaratkan kepada platform terlibat serta membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia dan MCMC, termasuk melalui portal aduan dalam talian agensi itu.
JPN sudah keluarkan 275,785 MyKad baharu, Johor rekod tertinggi
Kapal bawa ketamin RM785 juta milik syarikat Malaysia: Polis
Kerajaan sanggup tanggung subsidi minyak demi rakyat: PMX
Anwar: Ekonomi meningkat, masalah kos sara hidup rakyat tak diabaikan
23 kawasan catat IPU tidak sihat, Seremban tertinggi setakat 4 petang
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum