Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan.
Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan menafikan dakwaan akan mengikut langkah Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad meninggalkan PKR selepas kelibatnya dilihat hadir pada program pengumuman hala tuju politik dua pemimpin itu semalam.
Dalam kenyataan media hari ini, Zahir menjelaskan kehadirannya ke Program Hala Tuju Politik Rafizi dan Nik Nazmi di Petaling Jaya Performing Arts Centre hanyalah atas jemputan rakan seperjuangan bagi mendengar sendiri perancangan politik mereka selepas ini.
“Saya hadir atas dasar memenuhi jemputan sahabat seperjuangan untuk menyaksikan perkongsian hala tuju perjuangan mereka pada masa hadapan,” katanya.
Kenyataan itu dibuat susulan spekulasi dalam kalangan pemerhati politik selepas Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan keputusan mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing berkuat kuasa semalam dan meninggalkan PKR.
Rafizi sebelum ini merupakan timbalan presiden PKR manakala Nik Nazmi pula antara pemimpin kanan parti yang pernah memegang jawatan menteri dalam Kerajaan Perpaduan.
Tindakan kedua-duanya mencetuskan pelbagai reaksi termasuk persoalan mengenai kesan terhadap kedudukan parti menjelang pilihan raya akan datang.
Ahli Parlimen Wangsa Maju itu berkata beliau menghormati keputusan yang dibuat oleh kedua-dua pemimpin berkenaan dan percaya tindakan tersebut dilakukan selepas pertimbangan mendalam, bukannya demi kepentingan peribadi.
Beliau turut berpandangan keputusan Rafizi dan Nik Nazmi tidak melanggar Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan berkaitan Akta Anti-Lompat Parti.
“Pada pandangan saya, tindakan mereka semalam tidak melanggar mana-mana akta terutamanya peruntukan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan berkenaan anti-lompat parti,” katanya.
Zahir juga menegaskan komitmennya terhadap PKR dan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat Wangsa Maju tidak berubah.
“Sebagai Ahli Parlimen Wangsa Maju, saya kekal komited dalam menjalankan tanggungjawab saya sepenuhnya kepada pengundi dan rakyat Parlimen Wangsa Maju,” katanya.
Polis rakam keterangan Tony Pua petang tadi selepas 77 terima laporan
Sidang khas pada 24 Jun mungkin berkaitan bubar DUN Johor: Hassan Karim
AGC bantah semakan kehakiman kes Zahid yang dimohon Badan Peguam
Jangan mainkan isu Raja dan agama demi kepentingan politik: Amirudin
Malaysia aman jika tiada DAP: Dewan Ulama PAS
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi