Fahmi Fadzil dan Wan Muhammad Azri Wan Deris (Papagomo).
Kes saman fitnah melibatkan Fahmi Fadzil dan Wan Muhammad Azri Wan Deris akhirnya diselesaikan secara damai di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, selepas kedua-dua pihak mencapai persetujuan bersama.
Peguam Fahmi, Asheeq Ali Sethi Alivi berkata, penyelesaian dicapai selepas mengambil kira penjelasan lanjut termasuk kenyataan pihak berkuasa.
Menurutnya, ucapan Ahli Parlimen Lembah Pantai di Masjid Nurul Yaqin, Kuang di Rawang pada 30 Julai 2023 bukanlah ceramah politik seperti yang didakwa sebelum ini.
“Isu ini sebenarnya berpunca daripada salah faham yang tidak sepatutnya berlaku.
“Kedua-dua pihak bersetuju untuk tidak mengeluarkan kenyataan selain daripada yang dipersetujui,” katanya selepas prosiding di hadapan Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin Shah.
Fahmi pula menyifatkan penyelesaian itu sebagai langkah penting untuk membersihkan namanya daripada tuduhan yang disifatkan tidak berasas.
“Dua daripada tiga kes ini telah membersihkan nama saya. Tuduhan sebelum ini memang tidak wajar dan berbentuk fitnah,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati sebelum menyebarkan maklumat di media sosial.
“Saya harap semua pihak semak dahulu maklumat sebelum membuat sebarang hantaran. Ambil pengajaran daripada insiden ini,” tambahnya.
Bagaimanapun, kes saman terhadap penceramah bebas, Ahmad Dusuki Abd Rani akan diteruskan dengan perbicaraan bermula esok selepas gagal mencapai penyelesaian.
Sebelum ini, satu lagi kes saman berkaitan isu sama terhadap pemilik akaun Facebook ‘N13 Kuang’ juga telah diselesaikan.
Untuk rekod, saman tersebut difailkan pada September 2023 susulan dakwaan bahawa Fahmi menyalahgunakan masjid untuk tujuan kempen politik dan melanggar titah Sultan Selangor.
Namun, pihak berkuasa agama negeri kemudian mengesahkan tiada unsur politik dalam ucapan berkenaan.
Kes ini mencerminkan bagaimana penyebaran maklumat tidak tepat di media sosial boleh membawa implikasi undang-undang serius, selain menjejaskan reputasi individu terlibat.
Darurat bukan jalan tangguh PRN, bercanggah amalan demokrasi: Hassan Karim
RM5 juta masuk akaun Bersatu, tiada satu masuk dalam akaun peribadi: Saksi
Runding kerusi parti komponen PH mesti ikut saluran rasmi: Saifuddin Nasution
Ketua Bersatu Pahang ditamatkan khidmat, didakwa sokong Hamzah
Ganti Ketua Pembangkang baharu perlu perbincangan menyeluruh: Hadi
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan