Peguam Haniff Khatri Abdulla.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menolak tuntutan yuran guaman RM12.5 juta difailkan peguam Haniff Khatri Abdulla terhadap Parti Bersatu bagi perkhidmatan guaman yang diberikan antara 2016 dan 2020.
Hakim Akhtar Tahir memutuskan keterangan yang dikemukakan di mahkamah oleh defendan Bersatu, Presiden parti Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden Hamzah Zainudin dan Bendahari Salleh Bajuri, lebih boleh dipercayai.
“Plaintif (Haniff) tidak pernah (mengeluarkan) bil, berbincang atau memaklumkan kepada defendan bahawa perkhidmatannya perlu dibayar.
“Pengebilan hanya dibuat selepas Langkah Sheraton (pada 2020),” kata hakim itu.
Mahkamah juga mendapati tiada tindakan daripada defendan berhubung invois Haniff adalah wajar, kerana tiada persetujuan awal untuk pembayaran dibuat antara beliau dan Bersatu.
“Mengambil kira keadaan dan tingkah laku pihak-pihak, perkhidmatan yang diberikan adalah atas dasar sukarela,” kata Akhtar
Haniff diperintahkan membayar kos RM150,000 kepada Bersatu.
Peguam itu memfailkan samannya pada 2021, bertujuan mendapatkan semula yuran guaman RM12.5 juta daripada pihak terbabit untuk perkhidmatan yang diberikan.
Beliau mendakwa sebelum memfailkan saman itu, beliau telah mengeluarkan invois kepada parti untuk perkhidmatan yang diberikan tetapi tidak mendapat sebarang maklum balas.
Dalam pembelaannya, Bersatu mendakwa perkhidmatan Haniff diberikan secara ‘pro bono’ (tanpa caj) antara 2016 dan 2020.
Haniff kemudiannya memberitahu pemberita dia mungkin akan membuat rayuan terhadap keputusan hari ini.
Amanah mahu MB Negeri Sembilan bubar DUN
Ahli PAS digesa utamakan dana kompleks parti, bukan tabung Najib: Iskandar
Tahanan rumah Najib: Mahfuz persoal asas undang-undang pengampunan
RM50 juta belum dibayar, Najib masih tunggu proses tahanan rumah: Laporan
MB: Exco Negeri Sembilan masih sah, tidak perlu senarai baharu
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum