Had subsidi RON95.
Pelaksanaan program subsidi petrol RON95 yang disasarkan, BUDI MADANI RON95 (BUDI95), dilaporkan berjalan dengan lancar tanpa mengakibatkan sebarang kerumitan atau barisan panjang kepada pengguna.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu jawapan bertulis di laman web Parlimen berkata pendekatan berperingkat yang diambil oleh kerajaan membolehkan ujian awal sistem dilaksanakan dalam skala yang lebih kecil sebelum diperluaskan.
“Pendekatan ini penting bagi membolehkan kerajaan mengenal pasti, menilai dan menambah baik sebarang kelemahan teknikal, logistik atau operasi yang mungkin timbul,” jelas kementerian itu.
Kementerian itu turut memaklumkan elaksanaan program ini mengambil iktibar daripada pengalaman lalu, khususnya gangguan teknikal yang dialami semasa pemberian bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) pada 31 Ogos lalu.
“Di sebalik pelaksanaan sekali gus untuk SARA, pelaksanaan program BUDI95 dijalankan secara berperingkat,” menurut kenyataan tersebut lagi.
BUDI95 dilancarkan bermula dengan anggota tentera dan polis pada 27 September 2025, diikuti oleh penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pada hari berikutnya, dan akhirnya diperluaskan kepada warganegara Malaysia yang layak pada 30 September 2025.
Berdasarkan pemantauan bulan pertama, MOF melaporkan setakat ini tiada kerumitan yang dihadapi pengguna.
“Dalam bulan pertama pelaksanaan BUDI95 boleh dikatakan berjalan lancar dengan sistem beroperasi dengan stabil dan secara amnya, ia tidak mengakibatkan kerumitan.”
Jawapan ini diberikan sebagai respons kepada soalan yang dikemukakan oleh Dr. Wee Ka Siong (Ayer Hitam-BN).
Pelaksanaan yang sistematik ini dilihat sebagai langkah proaktif kerajaan bagi memastikan bantuan subsidi sampai kepada kumpulan sasaran dengan lebih berkesan dan teratur.
Pindaan akta melibatkan pemandu mabuk dibentang awal tahun depan
Jordan-Malaysia mahu perkukuh kerjasama pertahanan
Rakyat Malaysia diminta tangguh umrah ke Arab Saudi: Mat Hasan
MCMC turunkan kandungan hina Agong di Threads
Lapangan terbang Riyadh diserang lagi, seorang maut
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum