Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi.
Sebarang keputusan berhubung pemberian tol percuma bersempena musim perayaan untuk tahun depan akan dibincangkan kemudiaan, kata Alexander Nanta Linggi.
Menteri Kerja Raya berkata dalam mesyuarat Kabinet 2024 kelonggaran tol percuma dibuat pada tahun ini dan sebarang keputusan berhubung perkara tersebut hanya akan diputuskan selepas perbincangan selesai.
“Jadi belum lagi dibincang sama ada tahun depan akan ada lagi tol percuma musim perayaan atau tidak.
“(Sekarang ini) belum masanya lagi untuk kita buat kertas Kabinet,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) Program Blackspot dan Penyelenggaraan Jalan Persekutuan di Semenanjung Malaysia di Kementerian Kerja Raya hari ini.
Januari lalu, kerajaan mengambil keputusan menghentikan pemberian tol percuma bersempena dengan musim perayaan sebagaimana yang dilaksanakan sebelum ini.
Alexander dilaporkan berkata, perkara itu sudah diputuskan pada mesyuarat kabinet tahun lalu.
Bagaimanapun katanya, kerajaan akan menggantikan pemberhentian tol percuma itu dengan pendekatan yang lebih bersasar.
Sementara itu, mengulas mengenai reaksi pihak konsesi berkenaan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membuat keputusan mengekalkan kadar tol membabitkan 10 konsesi lebuh raya, beliau berkata reaksi pihak berkenaan bercampur-campur.
Bagaimanapun, beliau berharap, pihak konsesi berkenaan faham akan objektif kerajaan yang membuat keputusan sedemikian.
“Jika sebagai model perniagaan memang mereka tidak suka sebab (kenaikan) ditangguhkan kerana dari awal apabila membuat cadangan perniagaan sudah diambil kira sekali aliran tunai.
“Kita faham dan ini memang tidak dinafikan mengganggu aliran tunai mereka tetapi saya harap mereka faham kenapa kerajaan buat keputusan seperti ini.
“Yang pertama adalah untuk ringankan beban pengguna jalan raya terutama golongan B40. Jadi saya berterima kasih atas kerjasama syarikat konsesi ini,” katanya.
Semalam, Anwar yang juga Menteri Kewangan bersetuju menangguhkan kenaikan kadar tol bagi 10 lebuh raya supaya rakyat terus menikmati kadar tol yang sama.
Antara lebuh raya yang terbabit adalah Lebuhraya Senai-Desaru (SDE), Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) dan Lebuhraya KL-Putrajaya (MEX).
PMX mahu tatakelola tanah diperkukuh, pencerobohan dibendung
Subsidi kerajaan turun 40 peratus, bantuan untuk rakyat melonjak
Muhyiddin gesa siasatan telus tragedi Irene Sofiya
Kerangka baharu bagi graduan hadapi dunia kerja era AI: MCMC
Pesara rugi lebih RM300,000 ditipu sindiket pelaburan dalam talian: Bernama
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum