Pendapatan pelaburan KWSP naik pada suku pertama 2026

May 19, 2026 · Isu semasa

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatat peningkatan ketara pendapatan pelaburan sebanyak 51 peratus kepada RM27.73 bilion bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026, berbanding RM18.31 bilion yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata prestasi memberangsangkan itu dipacu langkah awal pengurus portfolio yang mengambil peluang merealisasikan keuntungan sebelum pasaran global menjadi lebih tidak menentu.

“Pendapatan suku pertama yang kukuh ini mencerminkan keputusan portfolio yang dibuat lebih awal susulan jangkaan ketidaktentuan pasaran global.

“Namun prestasi suku tahunan tidak seharusnya dijadikan petunjuk untuk tempoh berikutnya kerana keadaan sama mungkin tidak berulang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pendapatan itu termasuk keuntungan dan kerugian belum direalisasikan berdasarkan penilaian ‘mark to market’, terutama akibat turun naik kadar pertukaran asing.

KWSP memaklumkan, pendapatan daripada ekuiti melonjak 88 peratus kepada RM20.34 bilion berbanding RM10.80 bilion pada suku pertama tahun lalu.

Peningkatan itu disokong sentimen pelabur yang lebih positif pada awal tahun sehingga mendorong kenaikan kebanyakan indeks utama dunia.

Bagaimanapun, momentum pasaran mula perlahan pada Mac apabila ketegangan geopolitik dan kebimbangan ekonomi global meningkatkan volatiliti pasaran kewangan.

Instrumen pendapatan tetap pula menyumbang RM6.76 bilion atau 24 peratus daripada keseluruhan pendapatan pelaburan. KWSP berkata, aset seperti Sekuriti Kerajaan Malaysia terus memainkan peranan penting sebagai komponen defensif ketika pasaran berdepan ketidaktentuan.

Dalam pada itu, pelaburan hartanah dan infrastruktur merekodkan pendapatan RM0.19 bilion manakala instrumen pasaran wang mencatat keuntungan RM0.44 bilion.

Ahmad Zulqarnain berkata, persekitaran ekonomi global dijangka terus mencabar dengan risiko geopolitik, kenaikan harga minyak serta tekanan inflasi yang kembali meningkat.

“Tindakan awal yang diambil membolehkan kami memasuki tempoh ketidaktentuan ini dalam kedudukan yang kukuh. Keutamaan kami kini ialah pemeliharaan modal dan pelaburan secara berdisiplin demi memastikan simpanan persaraan 18 juta ahli kekal mampan dalam jangka panjang,” katanya.

Sehingga akhir Mac 2026, jumlah aset pelaburan KWSP meningkat kepada RM1.44 trilion dengan 36 peratus daripadanya dilaburkan di pasaran antarabangsa.

Pelaburan global menyumbang RM15.36 bilion atau 55 peratus daripada keseluruhan pendapatan pelaburan suku pertama.

KWSP turut memaklumkan jumlah pendapatan pelaburan bagi Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah masing-masing sebanyak RM22.63 bilion dan RM5.10 bilion.

Berita berkaitan
Ringgit kekal kukuh, antara mata wang terbaik Asia: Amir Hamzah
June 9, 2026· Isu semasa
Institusi tempatan dominasi pembelian saham, kekalkan momentum positif
May 25, 2026· Isu semasa
Malaysia cipta rekod RM1 trilion dagangan untuk empat bulan pertama
May 21, 2026· Isu semasa
Pelaburan kukuh pacu pertumbuhan ekonomi negara: Amir Hamzah
May 18, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
1.88 juta rakyat nikmati manfaat MySalam: Fahmi
11 jam lalu · Isu semasa
Kerajaan tak kompromi perangi rasuah, SPRM terus diperkasa
June 11, 2026 · Isu semasa
J-KOM buat laporan polis terhadap Albert Tei buat kecoh di kementerian
June 11, 2026 · Isu semasa
Kadar pengangguran naik sedikit pada April: DOSM
June 11, 2026 · Isu semasa
Agong tarik balik gelaran ‘Tan Sri’ dianugerah kepada Isa Samad
June 11, 2026 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
May 17, 2026
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi
May 12, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok