PH Pulau Pinang kekalkan Exco BN hingga PRU

August 8, 2026 · Politik

Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang memutuskan untuk mengekalkan wakil Barisan Nasional (BN) dalam barisan Exco kerajaan negeri sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat PH negeri hari ini, berdasarkan kesefahaman dan kerjasama politik yang terjalin antara PH dan BN selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023.

Menurutnya, kerjasama itu masih mempunyai ruang untuk diperkukuh, khususnya dalam menghadapi PRU akan datang serta meneruskan agenda reformasi yang menjadi asas perjuangan PH.

“Dalam menghadapi PRU akan datang, PH Pulau Pinang percaya masih terdapat ruang untuk memperkukuh kerjasama antara parti-parti gabungan dan mempercepat agenda reformasi yang menjadi asas perjuangan PH,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat di Wisma DAP hari ini.

Wakil BN yang kini berada dalam barisan Exco kerajaan negeri ialah Rashidi Zinol, yang memegang portfolio Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan Pulau Pinang.

Kon Yeow yang juga Ketua Menteri berkata PH Pulau Pinang turut mengambil iktibar daripada perkembangan politik di Johor dan Negeri Sembilan, dengan setiap kerusi pada PRU-16 akan dianalisis berdasarkan kekuatan serta cabaran di kawasan masing-masing.

Katanya, PH juga perlu lebih agresif dalam menguasai naratif politik, termasuk berani mengakui kelemahan sendiri, memperkukuh kehadiran di ruang digital serta memahami kecenderungan kelompok pengundi baharu, terutama generasi Undi18.

Beliau berkata kekuatan PH di Pulau Pinang masih kukuh berdasarkan rekod pentadbiran negeri yang stabil, usaha menarik pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan dan pelaksanaan dasar yang memberi manfaat kepada rakyat.

Namun, beliau mengingatkan parti itu supaya tidak terlalu selesa dengan prestasi pentadbiran negeri kerana persepsi serta sentimen rakyat boleh berubah lebih pantas berbanding fakta.

“Kita tidak boleh terlalu selesa. Persepsi dan sentimen rakyat sering bergerak lebih pantas berbanding fakta,” katanya.

Pada PRN Pulau Pinang 2023, PH dan BN membentuk Kerajaan Perpaduan selepas memperoleh 29 daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

DAP memenangi kesemua 19 kerusi yang ditandingi, manakala PKR memperoleh tujuh kerusi, Amanah satu dan BN dua kerusi.

Keputusan mengekalkan Exco BN itu dilihat sebagai kesinambungan kerjasama PH-BN di Pulau Pinang menjelang PRU-16, selain memberi isyarat gabungan berkenaan masih melihat kerjasama politik antara kedua-dua blok sebagai strategi penting untuk mempertahankan pentadbiran negeri.

Berita berkaitan
PAS dan Tebuk Atap 2.0: UMNO masih tak berganjak pilih Kerajaan Perpaduan
August 24, 2026· Politik
PRN Melaka: Zahid sahkan BN belum pilih PH atau PN untuk bekerjasama
23 jam lalu· Politik
UMNO akan hantar wakil ke Muktamar PAS: Zahid
23 jam lalu· Politik
Kerugian hampir RM10 bilion: Zahid mahu FELDA diaudit secara forensik
23 jam lalu· Politik
Lagi Politik terkini
Marzuki: Keahlian Bersatu masih sah dalam PN
August 24, 2026 · Politik
PRN Melaka: Ab Rauf nafi jumpa Hadi hari ini
20 jam lalu · Politik
RCI Tabung Haji: Mahfuz bidas Hadi guna agama sebagai perisai melindungi rasuah
20 jam lalu · Politik
Bersatu bukan lagi ahli PN kerana bertanding guna logo sendiri: Takiyuddin
23 jam lalu · Politik
Amirudin jumpa Anwar esok, bincang kerjasama PH-BN di Melaka
August 22, 2026 · Politik
Video / Foto
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
August 16, 2026
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri
August 11, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok