Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.
Perikatan Nasional (PN) dijangka memuktamadkan pindaan perlembagaan gabungan itu seawal minggu depan selepas perbincangan melibatkan parti-parti komponen utama hampir ke peringkat akhir.
Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, berkata proses memuktamadkan pindaan tersebut kini bergantung kepada kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) terhadap draf pindaan yang sedang dibincangkan oleh Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan PN bersama wakil empat parti utama gabungan itu.
Menurutnya, kelewatan berkenaan tidak ada kaitan dengan isu dalaman parti, sebaliknya berpunca daripada keperluan memperhalusi cadangan pindaan bagi memastikan struktur gabungan lebih jelas dan tersusun.
“Saya lihat pindaan perlembagaan ini akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat. Jawatankuasa sudah bermesyuarat dan satu draf sedang dibincangkan dalam mesyuarat pra-majlis bersama semua wakil parti.
“Fokus kita ialah memperkemas struktur dan hala tuju gabungan,” katanya selepas mengadakan kunjungan ke kediaman Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, di Kampung Sena, Guar Sanji.
Kunjungan itu berlangsung hampir sejam dan turut menjadi medan perbincangan mengenai hala tuju pentadbiran kerajaan negeri Perlis serta pengukuhan kerjasama antara Bersatu dan PAS dalam PN.
PN yang ditubuhkan sebagai gabungan parti pembangkang utama negara kini berusaha memperkemas struktur organisasinya selepas beberapa siri pilihan raya dan perubahan landskap politik nasional.
Langkah meminda perlembagaan dilihat penting bagi memperkukuh kerjasama antara parti komponen serta memastikan pengurusan gabungan lebih berkesan.
Muhyiddin berkata, jika pindaan itu diluluskan RoS, ia diyakini mampu membentuk struktur baharu yang lebih kukuh untuk jangka panjang.
“Kita mahu satu kerangka yang lebih mantap supaya kerjasama antara parti dapat diperkasakan,” katanya.
Mengulas mengenai jawatan Pengerusi PN, Muhyiddin memaklumkan bahawa setakat ini belum ada nama yang dimuktamadkan untuk mengisi jawatan tersebut.
“Perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan nanti,” katanya ringkas.
Adam Adli: Rundingan BN-PH belum bermula, tapi masih terbuka
PRN Melaka: Ab Rauf nafi jumpa Hadi hari ini
RCI Tabung Haji: Mahfuz bidas Hadi guna agama sebagai perisai melindungi rasuah
PRN Melaka: Zahid sahkan BN belum pilih PH atau PN untuk bekerjasama
UMNO akan hantar wakil ke Muktamar PAS: Zahid
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri