Ketua Polis Negara, Mohd Khalid Ismail.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan mana-mana pihak supaya membatalkan atau menukar lokasi perhimpunan bantah kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 bagi menjaga imej negara dan keselamatan delegasi antarabangsa.
Ketua Polis Negara, Mohd Khalid Ismail, berkata tempoh sidang kemuncak itu bukan masa sesuai untuk sebarang perhimpunan kerana keutamaan diberikan kepada aspek keselamatan dan protokol negara.
Beliau berkata, kawasan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) telah diklasifikasikan sebagai zon kawalan keselamatan yang ketat.
“Penganjuran seperti itu tidak sesuai ketika Malaysia menjadi tuan rumah kerana boleh menjejaskan imej negara serta mengganggu kelancaran sidang,” katanya selepas meninjau raptai delegasi di KLCC hari ini.
Menurut Mohd Khalid, pihaknya telah menjalankan sesi libat urus dengan kumpulan yang berhasrat untuk berhimpun.
“PDRM menasihatkan supaya ia tidak diadakan di kawasan KLCC. Sekiranya mereka masih berhasrat, kita mencadangkan supaya lokasi dialihkan ke kawasan lebih sesuai seperti Padang Merbok,” jelasnya.
Beliau memberi amaran perhimpunan besar di sekitar KLCC boleh menjejaskan kawalan keselamatan serta mengganggu pergerakan konvoi dan urusan protokol delegasi antarabangsa.
“Kita bukan menghalang hak berhimpun, tetapi meminta kerjasama semua pihak supaya tidak mengadakan sebarang perhimpunan sepanjang minggu Sidang Kemuncak ASEAN berlangsung,” ujarnya.
Mohd Khalid menegaskan, polis menghormati hak berhimpun seperti termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman 2012, namun ia perlu dilaksanakan secara tertib.
“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menganjurkan perhimpunan di kawasan larangan,” tegasnya.
PDRM juga menasihati orang ramai agar tidak terpengaruh dengan sebarang provokasi atau ajakan untuk menyertai perhimpunan tanpa kebenaran.
Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang dijadual berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober ini dijangka menghimpunkan beberapa pemimpin utama dunia, termasuk Donald Trump.
Rakyat Malaysia berkunjung ke Timor-Leste boleh guna khidmat 4G disedia syarikat tempatan
Pertemuan Anwar dengan Presiden FIFA buka lembaran baharu untuk bola sepak tempatan
TMJ pertahan 7 pemain ‘warisan’, dokumen dikemukakan sah
MCMC dan Maktab PDRM lancar kursus khas bersama perkasa pertahanan siber negara
Ribut petir landa enam negeri hingga 6 petang ini: Laporan
[VIDEO] Langkah perangi scam dan buli siber diperhebat, buru pesalah
[VIDEO] Selepas dipecat Bersatu jadi dalang SD, Wan Saiful anggap dirinya jadi mangsa