Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Seramai 12,531 pengundi awal terdiri daripada anggota tentera, pasangan dan anggota polis akan menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 hari ini.
Daripada jumlah itu, seramai 9,769 pengundi merupakan anggota tentera bersama pasangan, manakala 2,762 lagi terdiri daripada anggota polis.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan sebanyak 31 pusat mengundi awal diwartakan di seluruh Melaka bagi membolehkan kumpulan berkenaan melaksanakan tanggungjawab mereka.
Semua pusat mengundi dibuka serentak pada jam 8 pagi, manakala waktu penutupan ditetapkan secara berperingkat antara 12 tengah hari hingga 5 petang mengikut lokasi dan jumlah pemilih berdaftar.
Antara pusat mengundi yang dijangka ditutup seawal 12 tengah hari ialah Balai Polis Masjid Tanah bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu dan Balai Polis Gadek bagi DUN Gadek.
Sementara itu, pusat mengundi di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah serta Sekolah Kebangsaan (SK) Kem Terendak 1 dijadualkan ditutup pada jam 5 petang.
Secara keseluruhan, seramai 687,697 pemilih berdaftar layak mengundi pada PRN Melaka kali ini, yang menyaksikan persaingan melibatkan beberapa parti politik utama serta calon Bebas.
Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan calon di 24 kerusi DUN, diikuti Barisan Nasional (BN) dengan 23 calon, Parti Bersama Malaysia (16), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (tujuh), Perikatan Nasional (PN) dengan lima calon, Parti Pribumi Perkasa Malaysia (satu) dan tiga calon Bebas.
Keputusan PRN kali ini dijangka menjadi penentu kepada kedudukan parti-parti politik dalam membentuk kerajaan negeri untuk penggal seterusnya.
Pada PRN Melaka 2021, BN mencatat kemenangan besar apabila memperoleh 21 daripada 28 kerusi DUN, sekali gus membentuk kerajaan negeri. PH pula memenangi lima kerusi, manakala PN memperoleh dua kerusi.
SPR menetapkan hari pengundian biasa bagi PRN Melaka ke-16 pada 14 November ini. Tumpuan kini terarah kepada proses pengundian awal sebagai permulaan kepada penentuan mandat rakyat Melaka.
Isu minit pengampunan Najib, Polis mungkin panggil Tony Pua
Hujah Badan Peguam cabar tahanan rumah Najib didengar 17 Mac 2027
Kuasa pengampunan Agong tidak boleh dicabar: AGC
Bukan kerajaan sebar dokumen pengampunan Najib, jangan buat tohmahan
PAS masih jadi rebutan, Idris persoal pihak yang mahu kerjasama
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib