Rafizi Ramli.
Rafizi Ramli menyuarakan cadangan kepada Perdana Menteri ,Anwar Ibrahim dan bekas pembantunya, Shamsul Iskandar Md Akin, untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap ahli perniagaan Albert Tei bagi menjernihkan segala dakwaan yang timbul baru-baru ini.
Cadangan itu dibuat berikutan kenyataan Tei yang mendakwa Shamsul menerima wang daripadanya, serta kewujudan sebuah video yang didakwa melibatkan Anwar dalam satu skandal rasuah di Sabah.
Rafizi berkata semua tuduhan itu setakat ini masih berbentuk khabar angin dan perlu dibuktikan kesahihannya di peringkat mahkamah.
“Akan sangat sukar bagi Tei untuk membuktikan dakwaannya melangkaui sangkaan yang dibuat dalam video itu, melainkan dia mempunyai rakaman pertemuan dengan perdana menteri yang jelas merakam arahan sedemikian.
“Selain itu, perkara itu hanya boleh diselesaikan di mahkamah,” katanya dipetik laporan Malaysiakini.
Video yang dimaksudkan, yang dipercayai dirakam secara tersembunyi, memaparkan perbualan Tei dengan seorang wanita yang didakwa bertindak sebagai proksi kepada Shamsul Iskandar.
Dalam rakaman itu, wanita tersebut mendakwa Anwar dikatakan memberikan restu kepada Shamsul untuk membenarkan Tei merakam perbualan secara rahsia dengan seorang ahli politik Sabah berkenaan isu lesen perlombongan.
Rafizi turut mengulas mengenai tindakan Shamsul Iskandar yang meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Politik tidak lama selepas isu ini didedahkan.
Menurutnya, adalah lebih baik jika Anwar mengambil tindakan tegas minggu lalu apabila kontroversi melibatkan surat sokongan Shamsul Iskandar kepada kontraktor projek hospital timbul semula.
“Tidak kira apa yang berlaku di mahkamah, pendedahan Tei telah memberi tamparan hebat kepada kerajaan dan kredibiliti Anwar.
“Sekiranya Anwar mengambil tindakan tegas lebih awal, beliau mungkin dapat menjauhkan diri daripada pendedahan ini,” ujarnya.
Rafizi berkata hanya dengan langkah tersebut ia dapat memberi penjelasan yang cepat kepada rakyat agar tidak tercalar kredibilitinya sebagai seorang Perdana Menteri.
“Pada ketika ini, saya tidak dapat memikirkan cara cepat untuk perdana menteri mengurangkan kerosakan kredibilitinya,” ujarnya.
Sebelum ini, Anwar mengakui telah menegur Shamsul Iskandar berhubung isu surat sokongan tersebut, tetapi menolak desakan untuk memecatnya dengan alasan teguran sudah memadai.
PAS Terengganu cadang calon PM dari negeri itu
PAS dicabar tarik balik Amanat Hadi, ramai orang UMNO masih tersinggung
Pelantikan Ketua Audit Negara perlu bebas campur tangan politik: Syahredzan
PAS-UMNO makin terbuka, hantar wakil hadir ke PAU
Guan Eng mahu Zahid dikenakan tindakan isu lebihan belanja di KKDW
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum