Rakyat mahu kerajaan fokus bekerja, Anwar gesa utamakan kestabilan negara

July 14, 2026 · Politik

Anwar Ibrahim mengingatkan semua ahli Parlimen supaya tidak terlalu ghairah berpolitik sehingga mengganggu usaha membangunkan negara, sebaliknya memberi ruang kepada kerajaan melaksanakan tanggungjawab berdasarkan mandat yang diberikan rakyat.

Menurut Perdana Menteri, persaingan politik sewajarnya tertumpu ketika musim pilihan raya, manakala tempoh pentadbiran perlu dimanfaatkan untuk memperkukuh ekonomi dan menjaga kebajikan rakyat.

“Kita dengar suara rakyat. Saya percaya rakyat juga mahu kestabilan dan ekonomi terus berkembang. Rakyat tidak mahu kita hanya berpolitik sepanjang masa. Beri masa kepada kerajaan melaksanakan mandat. Apabila tiba pilihan raya nanti, kita bertanding semula,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar turut mengingatkan semua pihak supaya tidak terlalu yakin dengan kekuatan politik masing-masing.

“Saya sendiri tidak mahu terlalu yakin dan saya anggap Hulu Terengganu juga jangan terlalu yakin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang meminta penjelasan sama ada kerajaan bercadang membubarkan Parlimen lebih awal bagi mendapatkan mandat baharu demi menjamin kestabilan politik dan ekonomi negara.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata isu cadangan pemansuhan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan dibincangkan secara menyeluruh di peringkat Kabinet sebelum sebarang keputusan dibuat.

Katanya, perkara itu juga akan dirunding bersama Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abdul Kadir memandangkan kementerian berkenaan bertanggungjawab terhadap pengurusan PTPTN.

“Untuk PTPTN, saya akan bincang dengan baik. Johor juga bersama Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, jadi kita runding dengan baik. Soal PTPTN itu kita bincang dengan Menteri Pendidikan Tinggi,” katanya.

Isu pemansuhan pinjaman PTPTN kembali hangat diperkatakan selepas Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi mengingatkan mengenai janji berkaitan perkara itu.

Kenyataan tersebut mencetuskan perbincangan memandangkan PTPTN kini berada di bawah seliaan Kementerian Pendidikan Tinggi.

PTPTN ditubuhkan pada 1997 bagi menyediakan pembiayaan pendidikan kepada pelajar institusi pengajian tinggi.

Cadangan memansuhkan pinjaman itu pernah menjadi antara isu yang mendapat perhatian dalam beberapa manifesto pilihan raya, namun pelaksanaannya terus menjadi perdebatan kerana melibatkan implikasi kewangan yang besar kepada kerajaan.

Berita berkaitan
Majoriti perwakilan DAP sokong kekal dalam Kerajaan Perpaduan hingga habis penggal
9 jam lalu· Politik
Akta Tabung Haji akan dipinda, amanah umat Islam jadi keutamaan
9 jam lalu· Politik
DAP pilih kestabilan, hormati keputusan Anwar kekalkan BN
9 jam lalu· Politik
AUKU mansuh, Anwar mahu mahasiswa bebas bersuara
15 jam lalu· Isu semasa
Lagi Politik terkini
Fahmi: Jangan berhenti, perjuangan rakyat mesti diteruskan
8 jam lalu · Politik
Hubungan dengan Zahid masih baik, Anwar pilih kestabilan pertahan Kerajaan Perpaduan
15 jam lalu · Politik
Kemiskinan, dadah ancaman sebenar orang Melayu: Saifuddin Nasution
17 jam lalu · Politik
RM2.58 bilion rugi, Syed Saddiq persoal pelaburan TH sampai ‘naik darah’
17 jam lalu · Politik
14 pembahas sokong DAP terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan
17 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
8 jam lalu
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri
August 11, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok