Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Razali Idris.
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman denda RM2,000 ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Razali Idris, selepas didapati bersalah membuat kenyataan berbaur hasutan dalam satu ucapan politik tiga tahun lalu.
Hakim Norma Ismail memutuskan demikian selepas mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Menurutnya, Razali turut berdepan hukuman penjara selama tiga bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
“Mahkamah mendapati kesalahan telah dibuktikan melampaui keraguan munasabah,” katanya.
Razali, 59, didakwa melakukan kesalahan itu di Padang Astaka Chukai, Kemaman, Terengganu pada 10 November 2023 dan didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya.
Dalam kes tersebut, beliau didakwa mempersoalkan perbezaan layanan terhadap Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Kenyataan itu dibuat susulan keputusan mahkamah melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan rasuah, manakala Syed Saddiq pula disabitkan kesalahan pecah amanah jenayah.
Timbalan Pendakwa Raya Izzat Amir Idham sebelum ini memohon hukuman penjara dikenakan dengan menegaskan kesalahan itu serius.
“Hukuman denda semata-mata tidak memadai dan tidak mencerminkan keseriusan kesalahan, apatah lagi tertuduh seorang pemimpin politik yang berpengaruh,” katanya, sambil menambah hukuman perlu memberi kesan pencegahan.
Sebaliknya, peguam bela Awang Armadajaya Awang Mahmud merayu agar anak guamnya tidak dipenjarakan.
Menurutnya, kenyataan tersebut tidak menjejaskan keselamatan negara atau ketenteraman awam.
“Hukuman penjara atau denda tinggi akan menyebabkan tertuduh hilang kelayakan sebagai ADUN dan membawa kepada pilihan raya kecil yang melibatkan kos awam,” hujahnya.
Perbicaraan kes itu yang bermula pada September 2025 menyaksikan empat saksi pendakwaan dan empat saksi pembelaan dipanggil.
Selepas keputusan dibacakan, Razali membayar denda yang dikenakan.
Kerajaan percepat sidang khas Parlimen bahas laporan RCI Tabung Haji: Fahmi
Video ucapan tular, MCA diasak isu ‘Yahudi’ menjelang hari mengundi: Lapor Malaysiakini
Yew nafi dakwaan beli undi di Chuah, lapor polis supaya siasatan dibuat
PRN NS: Kalau berani keluarlah, Manivanan cabar Zaidy
Kabinet setuju RCI Tabung Haji didedah, kerajaan teruskan siasatan
[VIDEO] Jangan tertipu ‘cium mulut’ BN dan PAS, jangan beri satu undi pun kepada UMNO
[VIDEO] Rekod Tok Min sukar ditandingi, ‘hantu DAP’ jadi modal UMNO-PAS