Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 2026 bagi mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya bakal dibawa kerajaan Madani.
Spekulasi berhubung pelantikan hakim mahkamah atasan sudah selesai selepas pengumuman semalam, ia menyaksikan semua khabar angin sebelum ini hanya bertujuan untuk mencalarkan imej kerajaan Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri hari ini memberi penjelasan berhubung perkara sebenar isu pelantikan hakim dan menafikan hakim Mahkamah Persekutuan Ahmad Terrirudin Mohd Salleh pernah dicadangkan untuk menjadi Ketua Hakim Negara seperti mana didakwa.
Anwar berkata spekulasi itu hanya ditimbulkan oleh peguam yang bermain politik.
“Ada kononnya nama-nama yang ditonjolkan, saya boleh sebutlah Terrirudin, seorang mantan Peguam Negara yang banyak menjalankan tugas dengan cemerlang dan sekarang hakim Mahkamah Persekutuan.
“Tetapi kerana beliau punya banyak tahun lagi, nama beliau tidak pernah pun diusulkan.
“Jadi dari mana (timbul spekulasi)? Hanya dari sebaran daripada kalangan tokoh-tokoh peguam yang berpolitik. Saya tidak fikir ini gesaan daripada semua. Jadi saya harap dengan ini menjernihkan keadaan,” katanya dipetik laporan BH.
Pada 13 Julai, bekas timbalan presiden PKR Rafizi Ramli memberi amaran bahawa hakim kanan yang dituduh campur tangan kehakiman mungkin menjadi Ketua Hakim Negara tidak lama lagi.
Rafizi meramalkan bahawa ini akan bermula dengan pemangku Ketua Hakim Negara Hasnah Hashim dan pemangku Presiden Mahkamah Rayuan Zabariah Yusof secara rasmi dilantik ke jawatan itu, manakala hakim terbabit akan dicalonkan secara rasmi sebagai hakim besar Malaya.
Bagaimanapun, dia menyatakan bahawa Hasnah dan Zabariah dilanjutkan tempoh enam bulan tempoh perkhidmatan mereka – dan masing-masing dijadualkan bersara pada November dan Oktober.
Ini, katanya, akan membuka pintu kepada hakim berkenaan untuk naik pangkat semula, menjadi Ketua Hakim Negara.
Semalam, hakim Mahkamah Rayuan Wan Ahmad Farid Wan Salleh dinamakan sebagai Ketua Hakim Negara yang baru, dengan upacara mengangkat sumpah dijadualkan pada 28 Julai.
Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan turut mengesahkan dua lagi pelantikan kanan kehakiman: Hakim Mahkamah Persekutuan Abu Bakar Jais sebagai presiden Mahkamah Rayuan, dan Hakim Mahkamah Rayuan Azizah Nawawi sebagai Hakim Besar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak.
Sehubungan itu, Anwar mengecam pengkritiknya dan menggesa mereka berhenti membuat tohmahan tanpa merujuk kepada fakta.
“Jadi siapa yang mencerca memfitnah, merosakkan krisis badan kehakiman? Krisis apa? Saya tidak buang mana-mana hakim, saya tak hantar hakim ke tribunal, saya tidak mengganggu-gugat mana-mana keputusan, saya tak arah mana-mana Ketua Hakim Negara dan hakim mahkamah rayuan seperti mana pernah berlaku dahulu,” katanya lagi.
Krisis Negeri Sembilan isyarat jelas UMNO mahu bertanding solo PRU-16: Rafizi
Spekulasi ADUN UMNO kembali jadi Exco disangkal Jalaluddin
Amirudin enggan layan desakan pecat Exco UMNO di Selangor
Kamil nafi beri layanan seperti ‘lembu’ didakwa Akmal
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan