Subsidi BUDI95: MoF beri amaran salah guna MyKad tanpa kebenaran

May 29, 2026 · Isu semasa

Kementerian Kewangan (MoF) memberi amaran tegas kepada mana-mana pihak yang menggunakan nombor atau maklumat MyKad individu lain tanpa kebenaran bagi mendapatkan manfaat subsidi BUDI MADANI RON95 (BUDI95).

Amaran itu dikeluarkan susulan beberapa aduan diterima berkaitan dakwaan penyalahgunaan maklumat MyKad dalam transaksi di bawah program subsidi bersasar berkenaan.

MoF dalam kenyataan hari ini berkata, penggunaan atau pemilikan MyKad milik orang lain tanpa kuasa sah merupakan kesalahan serius mengikut Peraturan 25 Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

“Jika disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda sehingga RM20,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali,” menurut kenyataan itu.

Kementerian turut menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan subsidi yang diperkenalkan kerajaan bagi memastikan bantuan hanya dinikmati golongan layak.

Program BUDI95 diperkenalkan sebagai sebahagian daripada inisiatif penyasaran subsidi petrol RON95 oleh kerajaan MADANI bagi mengurangkan ketirisan serta memastikan bantuan sampai kepada kumpulan sasar.

Melalui program itu, penerima yang layak boleh menikmati subsidi petrol menggunakan pengesahan MyKad di stesen minyak terlibat.

Susulan isu yang timbul, MoF mengarahkan syarikat peruncit minyak memperketat pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pengesahan MyKad untuk setiap transaksi BUDI95.

Menurut kementerian itu, sebarang urus niaga manual tanpa pengesahan fizikal MyKad adalah tidak dibenarkan kerana membuka ruang kepada transaksi tanpa kebenaran dan penyelewengan subsidi.

“Sebarang urus niaga yang dilakukan secara manual tanpa pengesahan fizikal MyKad terlebih dahulu adalah tidak dibenarkan kerana ia membuka ruang kepada transaksi tanpa kebenaran, penyalahgunaan subsidi dan pelanggaran integriti pelaksanaan program,” katanya.

MoF turut mengarahkan syarikat peruncit minyak menjalankan siasatan terhadap transaksi yang dikenal pasti melanggar SOP serta mengambil tindakan susulan terhadap stesen minyak terlibat.

Antara langkah pembetulan yang diarahkan termasuk latihan semula kepada kakitangan barisan hadapan, pemaparan SOP di kaunter pembayaran dan penyaluran pampasan bersesuaian kepada pelanggan yang terkesan, tertakluk kepada hasil siasatan.

Selain itu, syarikat peruncit minyak juga diminta menghubungi pemegang MyKad yang terlibat bagi membincangkan isu berkenaan dengan lebih lanjut.

Dalam pada itu, penerima BUDI95 digalakkan menyemak rekod transaksi masing-masing menerusi portal rasmi BUDI95 dan segera membuat laporan polis sekiranya mengesan sebarang transaksi mencurigakan atau tanpa kebenaran.

MoF berkata, pengguna yang terkesan boleh mengemukakan aduan kepada Pusat Khidmat BUDI MADANI dalam tempoh 30 hari daripada tarikh kejadian dengan menyertakan laporan polis, salinan kad pengenalan dan senarai transaksi berkaitan.

Aduan boleh dibuat menerusi talian 1300-88-9595, WhatsApp di +603-2631 4595 atau e-mel ke [tanya@budi95.gov.my](mailto:tanya@budi95.gov.my) yang beroperasi 24 jam setiap hari.

“MoF akan terus memantau corak transaksi BUDI95 di semua stesen minyak dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang ketidakpatuhan SOP atau penyalahgunaan subsidi bersasar,” katanya.

Berita berkaitan
Subsidi cecah RM3.5 Bilion sebulan jika minyak dunia naik AS$90
July 22, 2026· Isu semasa
eFishery: Keputusan pelaburan KWAP dibuat panel profesional
July 20, 2026· Isu semasa
MOF: Bayaran balik lebihan cukai RM14.7 bilion sudah dilunas
July 16, 2026· Isu semasa
Penarafan A3 Moody bukti asas ekonomi Malaysia kekal kukuh
July 14, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Anwar tegas martabatkan bahasa Melayu, perluas penguasaan bahasa asing
July 28, 2026 · Isu semasa
Aminuddin gesa tindakan tegas terhadap pihak hina institusi diraja
18 jam lalu · Isu semasa
RCI Tabung Haji: Kerajaan buat keputusan Rabu ini
20 jam lalu · Isu semasa
CTPR: MCMC perkukuh kapasiti kawal selia digital Malaysia, ASEAN
20 jam lalu · Isu semasa
Jangan heret istana dalam politik : Istana Negeri Sembilan
22 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Peguam PH dakwa kenyataan Asyraf Wajdi boleh kelirukan rakyat, gesa PDRM dan SPR siasat
10 jam lalu
[VIDEO] Khaled Nordin lekeh Bersatu macam budak-budak, banyak mana pengalaman dia dengan saya?
July 27, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok