Perikatan Nasional.
Perikatan Nasional (PN) mengesahkan Parti Cinta Malaysia (PCM) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) diterima sebagai anggota baharu gabungan itu, sekali gus menjelaskan bahawa parti yang menyertai PN bukanlah Parti Wawasan yang pernah diumumkan sebelum ini.
Keputusan tersebut dicapai dalam Mesyuarat Tergempar Majlis Tertinggi PN yang turut memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Pengerusi PN, Ahmad Samsuri Mokhtar berkata mesyuarat bersetuju meluluskan penyertaan kedua-dua parti berkenaan selepas meneliti permohonan yang dikemukakan.
“Ada dua parti yang dipersetujui untuk diterima dan diluluskan sebagai anggota baharu PN iaitu Parti Pejuang Tanah Air dan Parti Cinta Malaysia,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat di Ibu Pejabat PAS, malam tadi.
Pengesahan itu menarik perhatian kerana sebelum ini Hamzah Zainudin pernah mengumumkan penubuhan Parti Wawasan sebagai wadah politik baharu selepas keluar daripada Bersatu.
Namun, parti yang akhirnya diterima sebagai anggota PN ialah PCM yang kini dipimpin beliau.
Selain soal keahlian, mesyuarat turut memberi fokus kepada persiapan menghadapi PRN Johor yang semakin hampir serta pilihan raya di Negeri Sembilan.
Menurut Ahmad Samsuri, Jawatankuasa Rundingan Kerusi diarahkan mempercepatkan proses pemuktamadan agihan kerusi bagi memastikan jentera parti dapat bergerak dengan lebih tersusun menjelang hari penamaan calon.
“Mesyuarat bersetuju supaya agihan kerusi dimuktamadkan dalam tempoh segera melalui Jawatankuasa Rundingan Kerusi. Saya dimaklumkan wakil-wakil parti akan bermesyuarat esok dan diharapkan perkara ini dapat diselesaikan sebelum penamaan calon di Johor,” katanya.
Beliau berkata, setiap parti komponen akan menghantar dua wakil ke mesyuarat rundingan tersebut bagi memperincikan pembahagian kerusi serta strategi pilihan raya.
Mengulas mengenai penggunaan logo pada PRN Johor dan Negeri Sembilan, Ahmad Samsuri berkata perkara itu belum diputuskan dan akan dibincangkan dalam mesyuarat rundingan kerusi.
“Belum dibincangkan lagi. Esok akan dibincangkan bersama parti-parti komponen,” katanya.
Kerajaan pusat dan negeri sepakat tangani cabaran ekonomi: Anwar
Maszlee sedia berdebat, adakah Onn Hafiz akan sahut?
PRN Johor: Debat Maszlee dan Onn Hafiz, biar pengundi nilai siapa layak jadi MB?
Johor perlukan kerajaan negeri sehaluan Putrajaya: Amanah
Kerjasama dengan Putrajaya kunci kemajuan Johor: Anwar
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar