Tuan Ibrahim Tuan Man.
Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man menepis dakwaan kononnya PAS berisiko kehilangan sehingga 37 kerusi Parlimen sekiranya Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar, dilantik sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN).
Beliau berkata kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua PAS Sungai Buloh, Zaharudin Muhammad, tidak mewakili pendirian rasmi parti dan sekadar pandangan peribadi individu berkenaan.
Menurut Tuan Ibrahim, dakwaan itu juga tidak selari dengan realiti prestasi PAS di bawah kepimpinan Samsuri, khususnya di Terengganu.
“Saya fikir itu hanyalah pandangan peribadi beliau dan ia terpisah daripada realiti sebenar. Kalau kita lihat pencapaian kerajaan negeri Terengganu di bawah Datuk Seri Samsuri, prestasinya sangat memberangsangkan,” katanya dipetik laporan media.
Sebelum ini, Zaharudin yang juga menantu kepada Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, mendakwa parti itu berpotensi kehilangan 37 kerusi Parlimen berdasarkan dapatan data dalaman parti, namun beliau tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai data tersebut.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim menegaskan setiap ahli berhak menyuarakan pandangan masing-masing, namun ia tidak boleh dianggap sebagai keputusan atau pendirian parti.
“Itu analisis peribadi beliau. Ia tidak mewakili PAS. Dalam parti, perbezaan pandangan adalah perkara biasa,” katanya.
Jawatan Pengerusi PN kini kosong selepas Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, meletakkan jawatan berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Langkah itu dikaitkan dengan perkembangan politik di Perlis yang menyaksikan Bersatu mengambil alih pentadbiran negeri daripada PAS, sekali gus mencetuskan ketegangan dalam gabungan tersebut.
Dalam konteks itu, PAS menyatakan kesediaan untuk menerajui PN, dengan beberapa nama disebut sebagai calon termasuk Abdul Hadi, Tuan Ibrahim dan Samsuri.
Namun, sehingga kini, jawatan berkenaan masih belum diisi sementara menunggu keputusan mesyuarat kepimpinan tertinggi PN yang tarikhnya belum ditetapkan.
Situasi ini terus menjadi perhatian pemerhati politik, khususnya menjelang perbincangan hala tuju gabungan pembangkang dalam landskap politik nasional yang semakin dinamik.
Keputusan rayuan Guan Eng, isteri dan ahli perniagaan diketahui hari ini
Tiada arahan sekat Onn Hafiz masuk ke FELDA: Zahid
Kerajaan pusat dan negeri sepakat tangani cabaran ekonomi: Anwar
Maszlee sedia berdebat, adakah Onn Hafiz akan sahut?
PRN Johor: Debat Maszlee dan Onn Hafiz, biar pengundi nilai siapa layak jadi MB?
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar