UMNO bakal buat ketetapan pada PAU 2026 susulan keputusan kes Najib: Puad

December 22, 2025 · Politik

Mohd Puad Zarkashi menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan Najib Razak untuk menjalani hukuman penjara di bawah tahanan rumah sebagai sesuatu yang sudah dijangka dan tidak mengejutkan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu berkata isu berkaitan titah adendum Yang di-Pertuan Agong itu telah berlarutan hampir dua tahun dan menimbulkan pelbagai persoalan, termasuk dakwaan ia disorokkan oleh kerajaan sebelum ini.

“Ada yang telefon tanya kenapa saya tidak hadir ke Mahkamah Tinggi hari ini. Saya jawab, keputusan hakim sudah boleh dijangka. Saya memang tidak mengharap,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Menurut Puad, drama berkaitan titah adendum itu berpanjangan apabila keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini dirayu oleh Peguam Negara, yang juga penasihat undang-undang kepada kerajaan.

“Persoalannya, siapa yang menasihatkan Peguam Negara supaya merayu? Hakim menyatakan titah adendum dibuat di luar mesyuarat Lembaga Pengampunan, tetapi kenapa pengampunan PMX dianggap sah walaupun Peguam Negara dan menteri wilayah belum dilantik ketika itu,” katanya.

Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Alice Loke memutuskan titah tambahan berkaitan tahanan rumah adalah tidak sah dari segi pelaksanaan prerogatif pengampunan.

Menurut beliau, perintah tahanan rumah tidak boleh dilaksanakan kerana tiada peruntukan undang-undang di Malaysia yang menyediakan mekanisme tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah berkata keputusan itu berpotensi membuka ruang kepada kebanjiran permohonan lain di mahkamah.

“Apa yang akan berlaku ialah floodgate of applications untuk mendapatkan penjelasan penuh tentang apa yang berlaku dalam Lembaga Pengampunan. Ini kes pertama seumpamanya,” katanya.

Sementara itu, Puad berkata beliau kini mengambil pendekatan menunggu keputusan perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 yang dijadualkan bermula 15 Januari tahun depan.

“Apa langkah seterusnya? Saya akan ikut keputusan perwakilan di PAU 2026. Keyakinan saya tidak berubah. Saya masih meyakini hujah bahawa Najib tidak mendapat perbicaraan yang adil,” katanya.

Beliau menambah, fokus utama kini adalah menjaga perpaduan parti sambil menantikan keputusan perhimpunan tersebut.

Berita berkaitan
Khairy dan Hishammuddin antara yang diterima balik masuk UMNO: Asyraf Wajdi
6 jam lalu· Politik
Isu PRN Melaka: MP DAP dan Akmal bertikam lidah
April 16, 2026· Politik
Puad sokong PRN Johor diadakan lebih awal, yakin UMNO-BN berpeluang cerah
April 15, 2026· Politik
Tangguh PRN: Mat Maslan jelaskan itu pandangan peribadi
April 14, 2026· Politik
Lagi Politik terkini
Darurat bukan jalan tangguh PRN, bercanggah amalan demokrasi: Hassan Karim
April 17, 2026 · Politik
RM5 juta masuk akaun Bersatu, tiada satu masuk dalam akaun peribadi: Saksi
April 16, 2026 · Politik
Runding kerusi parti komponen PH mesti ikut saluran rasmi: Saifuddin Nasution
April 16, 2026 · Politik
Ketua Bersatu Pahang ditamatkan khidmat, didakwa sokong Hamzah
April 16, 2026 · Politik
Ganti Ketua Pembangkang baharu perlu perbincangan menyeluruh: Hadi
April 16, 2026 · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
February 13, 2026
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan
February 13, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok