UMNO Sabah enggan kerjasama dengan GRS, Zahid pula kata…

August 4, 2025 · Politik

Wujud perbezaan pendirian antara UMNO Sabah dengan pusat dalam kerjasama gabungan parti politik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan pada masa terdekat.

UMNO Sabah dilihat masih keberatan untuk bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), bagaimanapun Presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi pula mengingatkan pimpinan UMNO negeri itu agar tidak menutup pintu rundingan politik.

Menurut Zahid, tiada mana-mana parti di Sabah yang cukup kuat atau dominan untuk membentuk kerajaan secara bersendirian.

“Kita tak boleh bergerak secara solo. Tiada satu parti pun di Sabah yang cukup kuat untuk berdiri sendiri. Kalau kita mahu kerajaan yang stabil, kita mesti bekerjasama,” katanya dalam ucapan kepada ahli UMNO di Libaran sempena Jelajah Perpaduan ke Sabah, semalam.

Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, walaupun UMNO Sabah diberi kuasa autonomi sepenuhnya dalam menentukan strategi menghadapi pilihan raya, sebarang keputusan mesti berasaskan prinsip utama untuk berkhidmat kepada rakyat dan menjamin kestabilan politik negeri.

“Walaupun UMNO Sabah diberi autonomi penuh, tetapi strategi mestilah berpaksikan kepentingan rakyat. Jangan tutup terus ruang rundingan,” tegasnya.

Beliau juga mengingatkan bahawa landskap politik hari ini tidak lagi boleh ditentukan oleh pembangunan semata-mata, sebaliknya turut dipengaruhi oleh persepsi awam, khususnya di media sosial.

“Kita bukan kalah sebab tak buat kerja. Kita kalah sebab tak lawan balik fitnah dan tohmahan di media sosial,” ujarnya.

Zahid turut memberi peringatan kepada ahli parti agar tidak terlalu cepat memusuhi pihak lain secara total dalam konteks rundingan politik, sebaliknya perlu kekal bijaksana dalam mengurus perbezaan.

“Jangan kita hitamkan sesiapa. Dalam kalangan kawan mungkin ada musuh, tapi dalam kalangan musuh juga mungkin ada kawan,” katanya.

Sementara itu, dalam ucapannya sebelum itu, Pengerusi UMNO Sabah, Bung Moktar Radin pula sekali lagi menegaskan pendirian bahawa Barisan Nasional (BN) Sabah tidak akan bekerjasama dengan GRS dalam PRN akan datang.

“Kalau Pakatan Harapan mahu bekerjasama dengan GRS, itu urusan mereka, bukan urusan kita,” kata Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan.

Kenyataan itu membayangkan perbezaan pendekatan antara kepimpinan UMNO pusat dan negeri, di mana Bung mengambil pendirian lebih keras, manakala Zahid dilihat lebih terbuka terhadap kemungkinan rundingan strategik, termasuk dengan pihak yang pernah menjadi lawan.

Pemerhati politik menjangkakan kenyataan Zahid akan membuka semula perbincangan dalaman antara BN dan PH, terutamanya dalam konteks mengelakkan pertembungan tiga penjuru yang dikhuatiri akan memberi kelebihan kepada Perikatan Nasional (PN).

Setakat ini, tiada pengumuman rasmi dibuat berkenaan tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri Sabah, namun spekulasi semakin hangat bahawa pilihan raya negeri akan diadakan dalam masa terdekat.

Berita berkaitan
PRN Melaka: Adam Adli yakin calon baharu PKR mampu buat kejutan
October 25, 2026· Politik
Aziz Bari: PAS parti politik, bukan agama
October 25, 2026· Politik
Zahid beri jaminan, kemelut calon MCA akan diselesaikan
October 25, 2026· Politik
PRN Melaka: PKR tawar 30 peratus calon wanita
October 25, 2026· Politik
Lagi Politik terkini
Tolak politik kebencian, perkukuh perpaduan: Anwar
15 jam lalu · Politik
PRN Melaka: Zahid mahu jentera BN terima PAS, alu-alukan kerjasama
15 jam lalu · Politik
BN umum 21 calon, Akmal dan Helmy kekal bertanding
15 jam lalu · Politik
PRN Melaka: PH umum 21 calon akan bertanding, Adly Zahari pertahan Bukit Katil
15 jam lalu · Politik
Pemimpin MCA keluar majlis pengumuman calon, bantah agihan kerusi di Melaka: Laporan
15 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok