Pemuda GRS gesa tolak BN daripada menyertai kerajaan negeri Sabah pimpinan Hajiji.
UMNO Sabah menegaskan Pakatan Harapan (PH) perlu membuat pendirian yang jelas sama ada menyokong Barisan Nasional (BN) atau Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sekiranya kedua-dua gabungan itu bertembung di mana-mana kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Ketua Penerangan UMNO Sabah, Suhaimi Nasir, berkata PH tidak boleh berada dalam keadaan berdiri di dua tepian memandangkan BN dan GRS adalah pihak yang bersaing antara satu sama lain.
Tegasnya, pendirian PH itu perlu diumumkan segera bagi mengelakkan sebarang konflik dan sabotaj dalam kempen.
“Perkara ini belum lagi dibincang dengan PH. Tetapi kita mahu PH nyatakan pendirian dengan jelas, apa pendirian PH, adakah bersama dengan kita ataupun bersama dengan GRS?” soal Suhaimi.
“Sudah pasti akan ada kerusi yang kita akan bertembung dengan GRS. Jadi, ke mana PH ini?
“Pendirian ini perlu dinyatakan secara jelas kerana kita tidak mahu ada yang menjadi ‘duri dalam daging’, ‘membunuh’ kita secara senyap yang akhirnya merugikan parti kita sendiri,” tambahnya lagi.
Kenyataan itu menyusul keputusan Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, untuk tidak bekerjasama dengan GRS dalam PRN tersebut dan hanya menjadikan PH sebagai rakan kerjasama.
Suhaimi turut menyuarakan kewaspadaan tinggi UMNOSabah berikutan pengalaman pahit pada pilihan raya lalu.
Beliau mendakwa lebih dua pertiga daripada 20 kerusi yang dimenangi dengan majoriti tipis disabotaj oleh rakan dalam gabungan sendiri.
“Lebih dua pertiga daripada 20 kawasan yang disebut itu disabotaj rakan dalam gabungan sendiri. Contohnya di Gum-Gum, mereka pasang calon bebas yang mesra PN, begitu juga dengan Telupid, Banggi.
“Bagaimana nak suruh kita bekerjasama dengan GRS sekarang ini? Kita tidak mahu dipatuk ular dua kali di tempat yang sama,” tegasnya.
Difahamkan, sebanyak 20 kerusi yang dimenangi dengan majoriti kurang 1,000 undi, terutama di bawah 700 undi, akan menjadi medan pertempuran sengit dan berisiko untuk bertukar pemilik, sekaligus menjadi penentu kemenangan dalam PRN-17 nanti.
Darurat bukan jalan tangguh PRN, bercanggah amalan demokrasi: Hassan Karim
RM5 juta masuk akaun Bersatu, tiada satu masuk dalam akaun peribadi: Saksi
Runding kerusi parti komponen PH mesti ikut saluran rasmi: Saifuddin Nasution
Ketua Bersatu Pahang ditamatkan khidmat, didakwa sokong Hamzah
Ganti Ketua Pembangkang baharu perlu perbincangan menyeluruh: Hadi
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan