Kenyataan media Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Pihak Universiti Malaysia Sabah (UMS) menafikan tidak mempunyai kaitan secara langsung atau tidak langsung dengan insiden sekumpulan mahasiswa yang membakar karikatur Perdana Menteri, Anwar Ibrahim semasa perhimpunan aman hujung minggu lalu.
Dalam satu kenyataan, UMS mengecam tindakan kumpulan tersebut yang dianggap keterlaluan sehingga tidak menghormati pemimpin negara dan akan membuat laporan polis berhubung insiden itu untuk menjalankan siasatan lanjut.
UMS juga memandang serius perbuatan tersebut dan menyifatkannya bertentangan dengan norma-norma perhimpunan aman.
“Pihak UMS juga melihat tindakan tersebut sebagai tindakan tidak beradab, kurang matang, sekaligus tidak mencerminkan intelek pelajar institusi pengajian tinggi.
“UMS juga menolak sekeras-kerasnya sebarang tindakan yang berisiko mendatangkan mudarat bukan sahaja kepada peserta malah kepada orang awam,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, tular video insiden membakar karikatur Anwar yang berlaku pada penghujung himpunan aman anjuran Sekretariat Rakyat Benci Rasuah di Kota Kinabalu, Sabah.
Karikatur yang dibakar itu turut disertakan kain rentang bertulis “Madani Pelindung Rasuah Sabah”, sebagai kritikan kepada pentadbiran Anwar yang didakwa gagal menunaikan janji reformasi institusi.
Memetik laporan portal berita, jurucakap kumpulan itu, Fadhil Kasim berkata, tindakan tersebut bertujuan menzahirkan kekecewaan rakyat terhadap beberapa pelantikan kontroversi, termasuk perlantikan semula Tan Sri Musa Aman sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah.
Sementara itu, UMS dalam kenyataan itu turut melahirkan rasa kesal dengan kenyataan kumpulan terbabit yang mempersoalkan pelantikan Musa, dan menegaskan pelantikan tersebut dibuat atas perkenan Yang di-Pertuan Agong yang seharusnya dihormati.
Jerebu: Agong titah sekolah tutup jika IPU 150 hingga 180
MCMC siasat dakwaan AI hasilkan video seksual libat guru, pelajar
Tiada lesen judi baharu dikeluarkan: MOF
Kandungan palsu berhubung dua kematian pelajar, MCMC ambil tindakan
RM5.2 bilion transaksi SARA direkod setakat September, 8.4 juta penerima
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum