Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) atau Urban Renewal Act (URA) terus mendapat perhatian.
Perbahasan dan pengundian Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) 2025 telah ditangguhkan ke sidang Dewan Rakyat yang akan datang berikutan bantahan keras daripada banyak pihak.
RUU tersebut yang dibentangkan untuk bacaan kedua pada hari ini berdepan penolakan daripada wakil rakyat pembangkang serta beberapa ahli parlimen dari pihak kerajaan, termasuk daripada PKR dan Barisan Nasional (BN).
Menurut laporan media memetik seorang pegawai kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, RUU ini tetap dibentangkan untuk bacaan kedua seperti dijadualkan, namun perbahasan dan undian hanya akan dilakukan pada mesyuarat Dewan Rakyat yang seterusnya.
Mesyuarat ketiga bagi Penggal Keempat Parlimen Ke-15 dijangka berlangsung dari 6 Oktober hingga 4 Disember 2025.
Sebelum ini, BN telah mengumumkan kebimbangan mereka terhadap RUU PSB dan menggesa agar ia ditangguhkan untuk memberi ruang kepada proses libat urus dengan semua pihak yang terlibat.
Timbalan Pengerusi BN, Mohamad Hasan, menyatakan pendirian itu setelah mengadakan mesyuarat dengan semua Ahli Parlimen BN.
Beliau membangkitkan beberapa isu kritikal dalam RUU tersebut, termasuk takrifan kawasan ‘bandar’ yang kabur serta perlindungan hak pemilik yang tidak bersetuju dengan proses pembangunan semula.
“Saya membawa suara semua Ahli Parlimen BN untuk meminta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menangguhkan RUU ini.
“Ada baiknya RUU yang telah dibaca kali pertama dan dicadangkan untuk bacaan kali kedua ini ditangguhkan kerana terlalu banyak kelemahan dan perkara yang perlu dilihat semula. Kami mahukan perundingan yang tuntas dengan semua pihak,” jelas Mohamad.
Terdahulu, blok pembangkang mendakwa RUU tersebut dibawa secara tergesa-gesa tanpa dokumentasi lengkap dan penjelasan mencukupi. Blue bill (draf rasmi) dikatakan belum diedarkan dengan mencukupi sebelum pembentangan di Parlimen.
Orang ramai dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut mengkritik bahawa meskipun sesi konsultasi diadakan, maklum balas awam tidak diambil kira sewajarnya.
Terdapat kebimbangan bahawa RUU ini akan meminggirkan budaya, warisan dan komuniti tradisional terutamanya komuniti Melayu di bandar utama.
Terpedaya peraduan gores dan menang, lelaki rugi RM2,470
Bantuan RM1,000: Lebih 15,000 pemandu teksi, kereta sewa layak terima
MA63: Kerajaan setuju serah kuasa pengurusan buangan kepada Sarawak
Bekas jurufoto Utusan berdepan masalah kesihatan terima bantuan Tabung Kasih Hawana
Malaysia buru penggal baharu kerusi Majlis ITU, main peranan bentuk dasar digital
[VIDEO] BN dapat mandat penuh tapi isu rakyat Melaka tak selesai
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum