Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan tidak wujud pembahagian “Team A” atau “Team B” dalam DAP, sekali gus menepis tanggapan wujud perpecahan dalaman dalam parti sekutunya itu.
Beliau berkata, kenyataannya sebelum ini dibuat berdasarkan maklum balas Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, dan bukan bertujuan melabel atau mengesahkan kewujudan mana-mana kem dalam parti berkenaan.
Ahmad Zahid turut menyatakan persetujuannya dengan penafian Loke yang dibuat semasa Konvensyen Tahunan DAP Selangor 2026 di Klang, hari ini.
“Maksud saya dalam ucapan penangguhan Perhimpunan Agung UMNO 2025 hanyalah untuk menjelaskan bahawa terdapat kenyataan bercanggah daripada segelintir kecil kepimpinan DAP terhadap isu yang dibangkitkan. Ia bukan pendirian rasmi parti,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke-72 Parti Progresif Penduduk di sini.
Ahmad Zahid mengulas laporan sebelum ini yang memetik ucapannya di PAU 2025, apabila beliau menyebut kenyataan bertentangan daripada kepimpinan DAP datang daripada apa yang digelarnya sebagai “Team B”.
Kenyataan itu mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan pemerhati politik dan pimpinan parti komponen Kerajaan Perpaduan.
Menurut Timbalan Perdana Menteri itu, perkara tersebut dimaklumkan secara tidak rasmi dan hanya mencerminkan perbezaan pandangan kecil, bukannya keputusan atau dasar muktamad DAP.
“Jika sebutan itu menyinggung perasaan rakan-rakan dalam DAP, saya menarik balik kenyataan tersebut. Ia sama sekali tidak berniat menggambarkan kewujudan dua kem,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pandangan individu atau kumpulan tertentu dalam mana-mana parti tidak wajar dianggap sebagai pendirian rasmi, terutama dalam konteks kerajaan campuran yang menuntut kesepaduan dan komunikasi jelas.
Terdahulu, Loke menegaskan tidak pernah memaklumkan kewujudan “Team B” dalam DAP dan menolak dakwaan bahawa terdapat kumpulan yang bergerak bertentangan dengan kepimpinan utama parti.
Penegasan itu dilihat penting bagi meredakan spekulasi dan memastikan kestabilan hubungan antara parti dalam Kerajaan Perpaduan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15.
Pasukan khas pantau isu 3R menjelang PRN Johor, Negeri Sembilan
Hakim sifatkan skandal 1MDB sebagai kleptokrasi terburuk dunia
Fahmi nasihat Ketua Pengarah J-Kom agar berhati-hati di media sosial
Dikritik ‘katak’ politik, Zaid sasar kembali bertanding PRU atas tiket PAS
PRN Johor: Anwar gesa pengundi pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya