Wan Saiful Wan Jan.
Sepuluh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu di Selangor menggesa supaya tindakan tegas diambil terhadap Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, dan tiga lagi pemimpin parti berkenaan.
Dalam kenyataan bersama, 10 ADUN Bersatu menggesa Wan Saiful dan tiga lagi ketua bahagian dipecat kerana penglibatan dalam usaha terancang untuk menjatuhkan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, melalui gerakan akuan bersumpah (SD).
Malah, merekajuga mendakwa kini terdapat percubaan untuk memutar belit fakta dan mengubah naratif selepas komplot tersebut didakwa gagal.
“Penipuan tidak boleh ditutup dengan siri penipuan baharu. Tindakan ini mestilah berbentuk pemecatan serta-merta daripada parti demi menjaga disiplin, integriti dan maruah perjuangan,” tegas kenyataan itu.
Selain Wan Saiful, tiga lagi pemimpin yang dikaitkan dengan percubaan tersebut ialah Ketua Bahagian Sepang, Suhaimi Ghazali; Ketua Bahagian Ampang, Isa Saidi; serta Ketua Bahagian Ipoh Timur, Muhd Fadhli Ismail.
Kumpulan ADUN itu turut menegaskan Wan Saiful sepatutnya memberi tumpuan untuk berdepan dengan kes mahkamahnya sendiri.
“Wan Saiful bukan saja sudah disiasat, malah kini berdepan dengan pendakwaan di mahkamah atas pertuduhan menggelapkan wang jutaan ringgit.
“Pendakwaan ini membuktikan pihak berkuasa mempunyai asas kukuh dan beliau wajar menjawab pertuduhan tersebut di muka pengadilan,” jelas mereka.
Mereka juga membela Setiausaha Agung Bersatu, Mohamed Azmin Ali, berhubung isu ketulenan klip video yang didakwa telah disiasat sepenuhnya oleh PDRM.
“Pada 9 Januari 2020, Peguam Negara ketika itu sudah mengesahkan bahawa selepas meneliti semua bukti dan keterangan, Timbalan Pendakwa Raya sebulat suara mengesyorkan tiada kes untuk pertuduhan.
“Syor itu diterima oleh Peguam Negara dan memutuskan tiada sebarang pendakwaan dibuat,” kata kenyataan itu.
Gesaan ini ditandatangani oleh kesemua sepuluh ADUN bagi mendesak Lembaga Disiplin Bersatu bertindak pantas demi menjaga integriti dan maruah parti.
Zahid mahu jadi PM? Selesaikan dulu isu integriti – AMK
Jamil Khir didakwa tiga pertuduhan berkaitan kes aset TH
Puad: Zahid mahu PRU-16 dipercepat kerana mahu jadi PM
Parti dalam Kerajaan Perpaduan perlu hormati mandat diberi rakyat: Azman Abidin
Jangan jadi ‘imigresen’ syurga, Islam bukan milik PAS: Amanah Selangor
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum