Tinjauan Merdeka Center: Sokongan rakyat terhadap PMX positif, 55% kadar kelulusan

June 23, 2025 · Politik

Kajian terbaharu badan pemerhati, Merdeka Center mendapati Perdana Menteri Anwar Ibrahim menerima kadar kelulusan sebanyak 55 peratus daripada pengundi berdaftar.

Data itu adalah yang terbaharu hasil tinjauan dijalankan antara 12 hingga 23 Mei lalu dengan rata-rata responden memberi penilaian positif terhadap kepimpinan Anwar yang menandakan kestabilan politik dan pemulihan ekonomi negara berjalan dengan baik.

“Antara faktor yang menyumbang kepada pandangan optimis ini termasuk persepsi bahawa negara kini berada di landasan yang lebih kukuh, ketidaktentuan politik semakin reda dan kerajaan pimpinan Anwar kini memiliki majoriti dua pertiga di Parlimen.

“Beberapa langkah reformasi institusi seperti pengembalian Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 turut dilihat sebagai isyarat kepada tadbir urus yang lebih berprinsip,” kata badan itu.

Menurut Merdeka Center, dari segi ekonomi, data kerajaan menunjukkan kadar inflasi menurun kepada hanya 1.4 peratus pada Mac 2025 – terendah dalam tiga tahun – manakala pertumbuhan ekonomi mencecah 4.4 peratus pada suku pertama.

“Kenaikan gaji minimum kepada RM1,700, bantuan kewangan sempena perayaan kepada penjawat awam serta subsidi bahan api yang masih diteruskan turut membantu meredakan keresahan awam terhadap kos sara hidup.

“Walaupun isu ekonomi kekal menjadi kebimbangan utama pengundi, pengunduran subsidi diesel pada 2024 tidak mengakibatkan kejutan harga, sekali gus memberi sedikit kelegaan kepada pengguna,” katanya.

Pada masa yang sama, tinjauan itu mendapati imej Anwar di peringkat antarabangsa turut diperkuat melalui peranan diplomatik seperti menjadi tuan rumah kepada Presiden China Xi Jinping dan mengetuai Asean pada 2025.

“Beberapa perjanjian pelaburan dan kerjasama perdagangan serta penglibatan dalam inisiatif Negara-Negara Selatan juga memberi impak positif terhadap persepsi dalam negara,” katanya.

Namun begitu, isu berkaitan keperluan harian – dan bukannya dasar luar atau pidato antarabangsa – terus menjadi faktor penentu sokongan rakyat.

Dengan kos harian yang semakin stabil dan pekerjaan yang lebih terjamin, lebih ramai pengundi memberikan Anwar dan kerajaan kepercayaan bersyarat.

“Dari sudut penilaian terhadap kerajaan persekutuan, tinjauan menunjukkan kadar sokongan meningkat kepada 50 peratus pada Mei 2025 berbanding 40 peratus pada Jun 2024.

“Tahap ketidakpuasan pula menurun kepada 48 peratus daripada 58 peratus tahun lalu. Namun jurang antara penilaian positif dan negatif masih ketat, didorong oleh kebimbangan berterusan terhadap tekanan kos sara hidup dan kemungkinan pemotongan subsidi dalam masa terdekat,” kata Merdeka Center.

Tinjauan juga mendapati 50 peratus responden berpendapat negara sedang menuju ke arah yang salah – berkurang daripada 61 peratus pada tahun sebelumnya – manakala 43 peratus berpendapat negara kini menuju ke arah yang betul, meningkat daripada 29 peratus pada Jun 2024.

Sebab utama yang mendorong pandangan negatif ini ialah hala tuju ekonomi negara dan prestasi semasa pentadbiran kerajaan.

Tinjauan Merdeka Center ini melibatkan 1,208 pengundi berdaftar yang mencerminkan profil pemilih nasional, merangkumi 52 peratus Melayu, 29 peratus Cina, 7 peratus India, serta masing-masing 6 peratus Bumiputera Muslim dan bukan Muslim dari Sabah dan Sarawak.

Responden dipilih melalui kaedah pensampelan berstrata rawak berdasarkan kumpulan umur, etnik, jantina dan kawasan DUN.

Berita berkaitan
Tolak politik kebencian, perkukuh perpaduan: Anwar
3 jam lalu· Politik
PRN Melaka: PH umum 21 calon akan bertanding, Adly Zahari pertahan Bukit Katil
3 jam lalu· Politik
Kerajaan sanggup tanggung subsidi minyak demi rakyat: PMX
9 jam lalu· Isu semasa
Anwar: Ekonomi meningkat, masalah kos sara hidup rakyat tak diabaikan
9 jam lalu· Isu semasa
Lagi Politik terkini
PRN Melaka: Zahid mahu jentera BN terima PAS, alu-alukan kerjasama
3 jam lalu · Politik
BN umum 21 calon, Akmal dan Helmy kekal bertanding
3 jam lalu · Politik
Pemimpin MCA keluar majlis pengumuman calon, bantah agihan kerusi di Melaka: Laporan
4 jam lalu · Politik
Zahid: PN hanya dapat tujuh kerusi, tak layan tuntutan lebih-lebih
9 jam lalu · Politik
Saifuddin bidas pembangkang sesama sendiri pun berpecah
9 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok