Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Fahmi Fadzil mengarahkan sekretariat Konvensyen Pakatan Harapan (PH) menyiasat dakwaan insiden kekasaran terhadap pengamal media ketika liputan konvensyen parti itu di Johor, Ahad lalu.
Menurut Fahmi yang juga pengarah konvensyen berkenaan, beliau memandang serius laporan dibuat Kelab Media Johor (KMJ) dan menegaskan insiden seumpama itu tidak sepatutnya berlaku dalam mana-mana acara rasmi atau politik.
“Saya telah minta pihak sekretariat meneliti aduan yang dibuat serta mengenal pasti isu dan individu yang mungkin terlibat untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media mingguan hari ini.
Beliau turut melahirkan rasa kesal terhadap kejadian itu, apatah lagi melibatkan petugas media yang menjalankan tugas liputan.
“Selaku pengarah konvensyen, saya amat kesal dengan kejadian ini. Saya juga mengenali pasukan media Johor dan bagi saya perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya.
Fahmi menegaskan wartawan perlu diberi ruang sepenuhnya untuk menjalankan tugas tanpa gangguan, termasuk ketika membuat liputan program politik yang melibatkan kehadiran ramai pihak berkepentingan.
Bagaimanapun, beliau mengakui faktor seperti ruang yang sempit, jumlah kehadiran terlalu ramai serta pergerakan individu yang ingin ditemu bual boleh menyebabkan situasi menjadi tidak terkawal.
“Kadang-kadang berlaku insiden tidak diingini terutama apabila ruang terhad dan keadaan terlalu sesak untuk wartawan menjalankan tugas,” katanya lagi.
Menurut beliau, pihak sekretariat sebenarnya telah menyediakan beberapa kemudahan bagi membantu media sepanjang konvensyen berlangsung, namun tidak menolak kemungkinan berlaku kesesakan di lokasi tertentu.
Terdahulu, KMJ membuat laporan polis susulan tindakan agresif dipercayai dilakukan anggota keselamatan sebuah parti politik terhadap petugas media ketika Konvensyen PH di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor.
KMJ mendakwa insiden itu melibatkan tindakan menghalang wartawan dari Johor dan Kuala Lumpur sehingga tercetus tolak-menolak serta pertelingkahan mulut.
Polis rakam keterangan Tony Pua petang tadi selepas 77 terima laporan
AGC bantah semakan kehakiman kes Zahid yang dimohon Badan Peguam
Jangan mainkan isu Raja dan agama demi kepentingan politik: Amirudin
Malaysia aman jika tiada DAP: Dewan Ulama PAS
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi