Tony Pua.
Polis akan memanggil bekas ahli parlimen Damansara, Tony Pua pada masa terdekat bagi dirakam keterangan susulan kenyataannya di media sosial yang didakwa menyentuh isu Raja Berperlembagaan dan Rukun Negara.
Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar berkata sehingga pagi Khamis sebanyak 59 laporan polis diterima dari seluruh negara berhubung hantaran tersebut dan siasatan kini dikendalikan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.
“Sehingga pagi tadi saya telah ditaklimatkan sebanyak 59 laporan polis dibuat di seluruh negara dan siasatan dijalankan oleh pihak IPK Selangor,” katanya pada sidang akhbar di IPK Selangor hari ini.
Menurut beliau, laporan itu melibatkan pelbagai balai polis di seluruh negara dan bukan hanya tertumpu di Selangor.
Kontroversi tercetus selepas Tony Pua memuat naik pandangan di Facebook mengenai sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia.
Dalam hantaran itu, beliau menyatakan kuasa Raja secara amnya tertakluk kepada aspek tertentu termasuk adat Melayu, Islam serta fungsi Perlembagaan seperti pelantikan Menteri Besar dan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
Kenyataan itu dibuat selepas titah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menyarankan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas Exco Selangor, Ronnie Liu supaya hadir sekurang-kurangnya seminggu sekali ke Dataran Selangor untuk membaca Rukun Negara selain menghormati institusi diraja.
Isu berkenaan kemudiannya mencetuskan pelbagai reaksi termasuk kritikan daripada beberapa pemimpin politik yang menyifatkan kenyataan Pua sebagai tidak menghormati institusi Raja-Raja Melayu.
Setakat ini, polis belum mendedahkan peruntukan undang-undang yang digunakan dalam siasatan, namun kes berkenaan terus menjadi perhatian susulan sensitiviti melibatkan institusi diraja dan keharmonian negara.
Sidang khas pada 24 Jun mungkin berkaitan bubar DUN Johor: Hassan Karim
AGC bantah semakan kehakiman kes Zahid yang dimohon Badan Peguam
Tiada PRK Pandan, Setiawangsa meskipun sudah disahkan kosong: SPR
Asyraf bidas Pua langgar garis merah selepas berbalas kritikan isu Selangor
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi