Jumlah perdagangan negara melepasi RM1 trilion.
Malaysia mencipta rekod baharu apabila jumlah perdagangan negara melepasi RM1 trilion dalam tempoh hanya empat bulan pertama tahun ini, pencapaian terpantas pernah direkodkan dalam sejarah negara.
Bagi tempoh Januari hingga April 2026, jumlah perdagangan meningkat 15.3 peratus kepada RM1.127 trilion berbanding tempoh sama tahun lalu, dipacu permintaan global yang kukuh terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor serta teknologi berkaitan kecerdasan buatan (AI).
Eksport negara melonjak 19 peratus kepada RM609.31 bilion, manakala import meningkat 11.1 peratus kepada RM517.40 bilion. Lebihan dagangan pula hampir berganda kepada RM91.92 bilion.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Abu Bakar Yusof berkata pencapaian itu membuktikan Malaysia semakin kukuh sebagai pemain penting dalam rantaian bekalan teknologi global.
“Lonjakan eksport produk AI dan semikonduktor menunjukkan industri negara semakin berdaya saing di peringkat antarabangsa. MATRADE akan terus membantu pengeksport tempatan dan PKS meningkatkan kedudukan dalam rantaian nilai global,” katanya dalam kenyataan.
Prestasi memberangsangkan itu turut didorong ledakan industri AI dunia, termasuk pertumbuhan pusat data, pengkomputeran awan dan permintaan tinggi terhadap cip semikonduktor.
Sepanjang empat bulan pertama tahun ini, eksport produk E&E berkembang 32.1 peratus atau RM71 bilion, manakala eksport berkaitan AI melonjak 42.9 peratus kepada RM319.05 bilion, mewakili lebih separuh daripada keseluruhan eksport negara.
Malaysia sebelum ini dikenali sebagai hab penting pembuatan cip dan komponen elektronik di Asia Tenggara.
Beberapa tahun kebelakangan ini, negara turut mendapat manfaat daripada perubahan rantaian bekalan global apabila syarikat teknologi antarabangsa memperluaskan operasi mereka di rantau ini.
Selain E&E, sektor farmaseutikal dan automotif turut mencatat pertumbuhan dua digit masing-masing sebanyak 21.9 peratus dan 10.3 peratus.
Amerika Syarikat, Taiwan, Hong Kong dan China terus menjadi antara penyumbang utama peningkatan eksport Malaysia, sebahagian besarnya melalui penghantaran produk teknologi tinggi.
Malaysia juga mencatat pertumbuhan eksport yang ketara ke pasaran baharu termasuk beberapa negara di Afrika dan Eropah Timur, sekali gus menunjukkan usaha peluasan pasaran eksport negara semakin berhasil.
MCMC ambil tindakan terhadap TikTok, gagal tangani akaun palsu Institusi Diraja
Jangan buat pembelian panik, bekalan asas negara masih stabil: Fahmi
Tiada unsur jenayah dalam insiden pegawai JSJ maut jatuh apartmen: Polis Selangor
Sultan Selangor bertitah perpaduan Melayu bukan ancaman terhadap kaum lain
MCMC bersama CSO dalam libat urus bincang langkah keselamatan digital kanak-kanak
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi